Ancaman Covid-19 jauh lebih bahaya dari bom

0
208

CYBERJAYA – Pegawai Kesihatan Itali yang bertanggungjawab dalam koordinasi pengurusan wabak Covid-19 mahu dunia belajar daripada apa yang berlaku di negara itu sehingga diisytiharkan ‘lumpuh’ akibat penularan wabak maut itu.

Profesor Giacomo Grasselli dalam temubual dengan Channel 4 News berkata, negara-negara lain di dunia mempunyai kelebihan untuk belajar dari Itali kerana mereka sedikit ‘terlewat’ dalam jangkitan ini.

“Saya harap malapetaka jangkitan seperti di Itali tidak berlaku kepada mana-mana negara. Mereka tahu ini boleh berlaku bila-bila masa tetapi mereka harus bersedia.

“Pihak berkuasa perlu mengajar populasi (penduduk) supaya mengambil langkah-langkah tertentu untuk mencegah penularan dan jangkitan.

“Apa yang lebih penting selain membeli dan menambah peralatan kesihatan pada masa ini adalah mencegah orang ramai daripada dijangkiti virus ini,” katanya.

Selain menyifatkan ancaman Covid-19 jauh lebih berbahaya daripada bom, Grasselli turut memberi peringatan bahawa dunia mungkin terlewat jika memandang ringan atau tidak mengambil langkah sepatutnya.

“Letupan bom berlaku hanya dalam ruang lingkup masa dan tempat, tetapi ini (Covid-19) terus merebak dan ia berlaku sangat cepat.

“Jika anda tidak berhati-hati dalam mengawal jangkitan , penyakit ini akan menjangkaui kemampuan anda untuk mengawal. Tidak kira betapa hebat dan cekap kemudahan kesihatan yang ada.

Katanya, keadaan akan menjadi lebih parah dan tidak terkawal apabila terlalu ramai pesakit di bahagian ICU sesebuah hospital.

Itali merupakan negara terburuk yang dilanda wabak Covid-19 di luar dari pusat epidemik virus itu di Wuhan, China yang memaksa kerajaan melaksanakan perintah berkurung atau lockdown.

Mengulas lanjut, Grasselli berkata, penularan Covid-19 di Itali dipercayai bermula di kota Milan di dalam wilayah Lombardy yang merupakan hab pengangkutan dan pelancongan Eropah.

“Penularan wabak itu bermula di situ dan tanpa siapa sedari ia kita sudah mempunyai jumlah pesakit yang tinggi.

“Di negara ini kebanyakan pesakit yang maut akibat penyakit ini adalah yang berusia 80 tahun ke atas kerana mereka tidak kuat untuk melawan masalah atau kegagalan sistem pernafasan.
Manakala separuh daripada pesakit di wad pula adalah yang berusia 65 tahun ke atas.

“Di tempat saya bekerja , saya tidak pernah menjangkakan kerajaan perlu menyediakan 500 katil ICU tambahan dalam masa seminggu, tetapi itulah hakikatnya sekarang,” katanya.

Giacomo Grasselli

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here