Antidot Covid-19 adalah sikap kita sendiri

0
182

DI kala warga dunia sedang panik berdepan penularan virus Covid-19, banyak negara yang masih belum bersedia berdepan dengan pengurusan krisis wabak itu.

Bahkan ketika kerajaan China dan Korea Selatan dilihat semakin berjaya mengekang jangkitan, Itali dan Sepanyol kini lumpuh dengan ratusan kematian setiap hari.

Pelbagai andaian dan konspirasi timbul dalam menilai ‘kontradiksi’ yang sedang berlaku di timur dan barat benua dunia ketika ini.

Persoalan seperti adakah China terlalu bersedia, adakah Korea Selatan terlalu maju dalam teknologi kesihatan mereka mungkin bermain di fikiran kita.

Mudah juga bagi kita untuk menuding jari kepada Itali dan Eropah dengan anggapan mereka terlalu memandang remeh kepada ancaman wabak ini. Masih tiada jawapan yang konkrit pada persoalan ini.

Namun apa yang berlaku di negara kita semalam apabila puluhan ribu berpusu-pusu meninggalkan kediaman untuk pulang ke kampung adalah bukti betapa kita tidak bersedia dan bersikap terlalu mementingkan diri.

Perancangan kita yang lemah diburukkan lagi dengan sikap tidak cakna dan tidak ‘ambil pusing’ tentang Perintah Kawalan Pergerakan diumumkan kerajaan. Pada mereka, pengumuman itu adalah ‘bonus’ yang tidak patut dilepaskan untuk pulang ke kampung. Seteruk itu.

Selepas berasak di pasar raya, di hab pengangkutan dan di balai polis, berduyung-duyung pula pulang ke kampung halaman dengan harapan mereka lebih selamat di sana. Walhal ada di antara mereka yang membawa bersama virus ke seluruh pelosok kampung.

Lemahnya mentaliti rakyat kita. Dalam situasi tegang seperti, masih tiada semangat untuk bersatu bersama-sama ‘berjuang’. Walaupun tidak berjuang di wad-wad hospital, cukuplah sekadar kekal di mana kita berada.

Hakikatnya kita masih dengan perangai lama. Persepsi kita kepada ancaman wabak ini sama seperti menilai ‘kemalangan hanya berlaku kepada orang lain’ tidak kepada diri sendiri.

Pada penulis, hari semalam adalah hari malang buat rakyat Malaysia. Seperti diumumkan Ketua Pengarah Kesihatan, kita mungkin berdepan dengan gelombang wabak lebih besar yang diistilahkan sebagai tsunami.

Gambar hiasan

Dan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sendiri malam tadi turut mengumumkan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan mungkin dilanjutkan sekiranya wabak Covid-19 tidak berjaya dikawal.

Pengumuman dalam bahasa penuh ‘santai’ itu tidak lain tidak bukan adalah untuk memastikan seluruh rakyat negara ini faham satu pesanan penting iaitu ‘jangan ke mana-mana dan tinggal sahaja di rumah’.

Jika arahan semudah itu masih tidak dapat dihadam oleh kita, adakah kita faham maksud perintah larangan keluar rumah itu bertujuan untuk ‘memutuskan rantaian jangkitan virus’. Mungkin tidak sesekali faham.

Kewujudan golongan yang tidak patuh ini (kategori tugas bukan kritikal) pada akhirnya adalah ‘penggagal’ kepada usaha yang dilakukan. Mereka adalah hantu raya. Berkeliaran, degil dan tidak berakal.

Dan jika faham sekalipun, masih ramai yang berdegil untuk tidak patuh dengan meletakkan kepentingan diri mengatasi segala tanpa memikirkan orang lain.

Pada pengakhirannya, penulis yang ketika ini salah seorang daripada rakyat Malaysia yang menikmati kelebihan untuk bekerja dari rumah, melihat perang sebenar melawan Covid-19 bukan sahaja pada virus itu sendiri tetapi sikap penting diri yang tidak berkesudahan. -MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here