ATM guna dron, UAV pantau PKP

0
94

Oleh NURUL FIRDAUS KHAIRI

KUALA LUMPUR – Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan menggunakan teknologi dron dan pesawat tanpa pemandu (UAV) bagi memantau Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan sebagai usaha membendung wabak Covid-19.

Memetik laporan Astro Awani, Panglima ATM, Jeneral Tan Sri Affendi Buang berkata, perkara tersebut telah dibincangkan dengan industri tempatan bagi meningkatkan jumlah alatan teknologi yang akan diguna pakai.

“Kami akan gunakan teknologi dron dan UAV. Perkara ini telah saya bincangkan dengan industri tempatan. ATM sudah ada (teknologi itu) tetapi jumlah perlu ditambah.

“Menerusi penggunaan teknologi, ia akan menambah baik (dari sudut) pemantauan. Kemungkinan (penggunaan dron dan UAV) dalam sehari dua ini, boleh kami gunakan,” katanya ketika ditemu bual RTM1 dalam program Selamat Pagi Malaysia hari ini.

Affendi turut menyatakan ATM komited dalam mencapai objektif PKP, selain bersedia untuk menambah bilangan anggotanya seandainya perlu.

“Kami sedaya upaya melihat bagaimana mahu menambah baik tugas kami ini supaya lebih efektif. Jadi saya ingin nyatakan jika perlu untuk menambah anggota (ATM), kami bersedia untuk melaksanakannya.

“Perkara ini akan dikaji dan dilihat setiap hari (jika ada keperluan meningkatkan anggota ATM). ATM komited dalam melakukan tugas bagi mencapai objektif,” katanya.

Beliau menyeru rakyat Malaysia untuk memberi kerjasama kepada pihak berkuasa dalam usaha membendung wabak Covid-19 demi kemaslahatan bersama.

Semalam Affendi memaklumkan seramai 7,500 anggota ATM di seluruh negara merangkumi ketiga-tiga cabang perkhidmatan ATM iaitu laut, udara dan darat diatur gerak setiap hari bagi membantu Polis Diraja Malaysia (PDRM) melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan. -MBNews

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here