Azizulhasni guna basikal RM13 juta

0
306

KUALA LUMPUR – Pelumba trek negara bakal menggunakan basikal ‘istimewa’ dalam usaha memburu pingat emas pertama di Sukan Olimpik Tokyo 2020 pada 24 Julai hingga 9 Ogos depan.

Basikal yang direka mengikut kesesuaian tiga pelumba negara iaitu Azizulhasni Awang, Muhammad Shah Firdaus Sahrom dan Muhammad Fadhil Zonis itu diperbuat daripada bahan karbon fiber yang lebih keras tetapi ringan dengan menggunakan teknologi aerodinamik terkini untuk memastikan rintangan angin lebih rendah.

Memetik laporan Bernama, basikal berkenaan dihasilkan menerusi projek penyelidikan dan pembangunan (R&D) berjumlah RM13 juta antara Institut Sukan Negara (ISN) dengan syarikat dari United Kingdom, TOTALSIM Ltd., yang mempunyai kepakaran dalam kejuruteraan aerodinamik.

Ketua Pegawai Eksekutif ISN, Ahmad Faedzal Md Ramli berkata, kerajaan Malaysia melalui Program Podium mengambil langkah proaktif menggunakan teknologi terkini dalam perlumbaan trek untuk membantu Malaysia merealisasikan impian di Sukan Olimpik berkenaan.

“Sejak tiga tahun bekerja bersama-sama dengan pakar dari United Kingdom, banyak perkara kami belajar melalui projek ini seperti mengubah kedudukan latihan atlet bagi menghasilkan kuasa dalam kelajuan untuk kuasa output yang sama.

“Kami berusaha mencari kaedah di mana kami mampu mencari pengurangan seretan udara dan ini adalah keseluruhan projek ini,” katanya pada majlis pelancaran basikal trek Olimpik Tokyo 2020 di ISN, di sini, hari ini.

Berdasarkan syarat Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI), jentera yang digunakan bagi Sukan Olimpik perlu berada di pasaran, dan basikal model WX-R Vorteq itu sudah berada di pasaran sejak 1 Januari lalu dengan sebuah basikal berharga RM300,000.

Basikal berkenaan juga telah menarik minat pasukan dari Lithuania dan Greece.

Jurulatih berbasikal trek negara, Joh Beasley berkata basikal khas itu telah digunakan oleh pelumba negara pada Kejohanan Dunia di Berlin, Jerman, baru-baru ini, dengan Azizulhasi mengutip dua gangsa dalam acara keirin dan pecut.

“Ketiga-tiga pelumba itu telah melakukan catatan peribadi terbaik. Bukan sahaja basikal tetapi pelumba juga perlu berada dalam keadaan baik,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here