Azmeer Yusof buka rumah belajar al-Quran

0
274

Oleh NINA FARZUIN MD. SHAROM

CYBERJAYA – Di sebalik kelincahan beraksi di padang bola, Azmeer Yusof pemain pertahanan pasukan bola sepak Kedah turut mengambil berat hal kebajikan masyarakat Muslim.

Hari ini melalui kenyataan yang dimuatnaik dalam akaun Facebook miliknya, pemain berusia 30 tahun ini menguar-uarkan hasratnya menjadikan sebuah rumah miliknya di Tongkang Yard, Alor Setar sebagai pusat pengajian al-Quran.

“Salam Jumaat. Saya nak buka rumah saya ni kepada kaum lelaki bawah 40 tahun yang nak mengaji mahu pun belajar mengaji. Jangan malu, jangan segan.

“Ini kalam Allah. Kita wajib belajar, kita wajib membaca. Sekurang-kurangnya tiap kali datang satu muka surat pun jadilah, janji kita ada usaha untuk membaca. Kita kena akui, akhir zaman ni kita dah pun ‘tinggalkan‘ al-Quran,” katanya.

Menurutnya, sebagai permulaan, rumah itu hanya menerima 10 individu yang berminat tanpa dikenakan sebarang bayaran.

“Untuk permulaan ni saya nak mencari dalam 10 orang.

“Tuan-tuan bawa diri je, al-Quran dan ustaz saya sediakan, insyaa-Allah dan yang penting tak perlu bayar apa-apa,” katanya.

Bagi mereka yang mengenali pemain yang memiliki aset sepakan kidal ini, inisiatif yang dilakukan itu bukanlah satu perkara baharu memandangkan beliau sebelum ini dilihat sering mempromosikan banyak aktiviti berkaitan agama dan kebajikan.

Beliau juga aktif dengan perniagaan seluar ‘tight’ untuk digunakan ketika beriadah dan bersukan bagi menggalakkan pemakaian yang menutup aurat. – MBNews

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here