Oleh : SITI AZIELAH WAHI
KUALA LUMPUR- Selebriti sensasi, Azwan Ali, didenda RM17,000 oleh Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini selepas mengaku bersalah membuat hantaran video yang menyakitkan hati orang lain berhubung Covid-19.
Mahkamah menjatuhkan hukuman itu ke atas Azwan, yang memuat naik video menghina petugas Hospital Putrajaya dalam mengendalikan wabak Covid-19.
Hakim Azura Alwi memerintahkan Azwan, 54, menjalani hukuman penjara tambahan enam bulan jika gagal membayar denda itu.
Menurut laporan Berita Harian, Azwan yang berbaju serba hitam didakwa menggunakan laman Youtube “DIVAAATERSOHOR” secara sedar membuat penghantaran dengan niat menyakitkan hati orang lain di Pejabat Timbalan Pengarah Hospital Putrajaya, pada 24 Mac lalu.
Dia didakwa mengikut Seksyen 233 (1) (a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 233(3) akta sama, memperuntukkan hukuman penjara maksimum setahun atau denda atau kedua-duanya.-MBNews