Balas jasa barisan hadapan dengan duduk di rumah 

0
240

CYBERJAYA – Cara untuk membalas jasa barisan hadapan dalam membendung wabak Covid-19 adalah dengan duduk di rumah.

Itu gesaan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang berharap orang ramai mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan kerajaan ketika ini.

Menurut beliau, para doktor, jururawat, juruteknologi makmal perubatan, pengurus jenazah, pemandu ambulans, van jenazah dan semua terlibat masih menjalankan amanah paling berat pada detik sukar ini.

Beliau berkata, mereka merupakan wira dan wirawati negara yang sedang berjuang sedaya upaya dengan 1,001 rasa yang sukar digambarkan oleh rakyat. 

“Tapi percayalah, dengan doa anda semua, sedikit sebanyak dapat mengubati kegusaran mereka.

“Ayuh kita cuba hayati bersama, mungkin dalam kalangan mereka ada yang belum dapat bertemu anak yang masih kecil di rumah,” katanya dalam hantaran akaun Facebook milik beliau hari ini.

Beliau juga meminta rakyat menyelami perasaan petugas barisan hadapan yang tidak dapat berjumpa ahli keluarga kerana mengutamakan tanggungjawab kepada negara.

“Marilah kita bersama menyelami perasaan keluarga yang bimbang, penuh penantian yang menyiksakan ini. Si ayah tidak dapat memeluk si anak. Si ibu tidak dapat mencium si anak.

“Dalam dilema. Mereka sendiri di persimpangan, antara hidup dan mati. Mereka korbankan masa dan tenaga buat kita Malaysia,” ujarnya. 

Beliau berharap petugas barisan hadapan terus positif dalam menjalankan tugas sebagai wira negara dan semoga ada sinar yang lebih indah bakal kembali buat mereka.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here