Bank wajar beri perlepasan bayaran balik pinjaman

0
86

Oleh SITI AZIELAH WAHI

CYBERJAYA – Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), Aminuddin Yahya menyambut baik empat inisiatif yang diumumkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin bagi membantu meringankan beban rakyat dalam menghadapi wabak Covid -19.

Aminuddin berkata, insentif itu wajar dipuji khususnya bantuan kepada Kementerian Kesihatan.

“Walau bagaimanapun idea itu perlu dipantau rapat dan diperbaharui dari semasa ke semasa memandangkan keadaan ekonomi rakyat serta kesihatan tidak menentu kerana belum menampakkan perkembangan yang memberangsangkan lagi,” katanya dalam kenyataan di sini.

Pada masa sama beliau turut mencadangkan beberapa perkara untuk pertimbangan kerajaan termasuk pelepasan bayaran balik pinjaman bank yang lebih panjang kepada peminjam serta menurunkan kadar faedah bagi kurangkan beban bayaran bulanan.

“Syarikat perbankan juga wajar menyediakan kemudahan pinjaman kepada peniaga terutama peniaga kecil dan sederhana di mana merekalah antara paling terkesan, iaitu bagi membantu mereka membayar kos operasi teruatama gaji pekerja,” katanya.

Selain itu beliau berkata, kerajaan wajar membenarkan majikan memberikan cuti tanpa gaji kepada pekerja untuk suatu jangka masa supaya mereka mempunyai masa memulihkan kembali perniagaan sebelum memanggil kembali para pekerja, jika perlu.

“Insentif perlepasan cukai juga wajar dipertimbangkan kepada pengusaha dan syarikat yang telah memberikan bantuan kepada sebarang usaha memerangi Covid-19,” katanya.

Disamping itu, jelasnya, kemudahan khas sama ada berbentuk elaun, penginapan atau makanan perlu diberikan kepada barisan hadapan yang berjuang melawan wabak itu.

Katanya, pihak polis serta askar turut diberikan insentif kerana memainkan peranan penting menjaga keamanan dan ketenteraman rakyat sepanjang tempoh penularan wabak ini.-MBNews

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here