Bank wajar berikan penangguhan bayaran tiga bulan

0
115

Oleh SITI AZIELAH WAHI

CYBERJAYA – Pengasas Kumpulan Pendidikan Brainy Bunch, Mohd. Fadzil Hashim mencadangkan supaya syarikat perbankan menawarkan penangguhan bayaran ansuran balik pinjaman selama tiga bulan kepada majikan yang berdepan situasi sukar akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Pengasas Malakat Mall itu berkata, institusi perbankan wajar menawarkan kemudahan tersebut secara automatik tanpa perlu memohon.

“Bank tidak akan terkesan banyak sebab tidak gunakan duit pelanggan semasa memberi pinjaman. Duit ini boleh digunakan untuk majikan membayar gaji pekerja,” katanya dalam hantaran akaun Facebook miliknya.

Mohd. Fadzil berkata, Bank juga wajar memberikan pengecualian kepada semua untuk tempoh tiga bulan kepada majikan.

“Semua sewa bangunan, rumah atau kilang juga tidak perlu dibayar untuk tempoh tiga bulan kerana pemilik tidak perlu membayar ansuran Bank,” katanya.

Dalam hantaran tersebut Mohd. Fadzil memohon supaya kerajaan turut memikirkan langkah berkesan bagi membantu usahawan kecil dan sederhana (SMEs) yang turut terkesan akibat PKP.

Beliau turut meluahkan kekecewaan atas pengumuman Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin kerana tiada sebarang bantuan khas diberikan kepada usahawan SMEs.

“Kita nak bayar gaji pun mencabar tapi mereka cuma umum kurangkan sumbangan KWSP untuk pakerja.

“Pekerja boleh keluarkan akaun kedua, yang kebanyakan saya kenali hampir kesemuanya mempunyai baki sifar selepas membeli rumah,” katanya.

Pada masa sama Mohd. Fadzil mencadangkan supaya Bantuan Sara Hidup diberikan kepada semua keluarga M40 dan B40 sebanyak RM500 untuk tempoh tiga bulan.

” TNB, Syarikat Bekalan Air dan Telekomunikasi memberikan tiga bulan perkhidmatan percuma kepada semua pengguna dan peniaga. Mereka tidak akan rugi!,” katanya.

Tambah beliau, Kementerian Kesihatan dan pihak swasta wajar diberikan dana yang cukup untuk membuat saringan sebanyak mungkin.

“Tak masuk akal KKM (Kementerian Kesihatan) terpaksa minta sumbangan orang ramai untuk beri peralatan.

“Ini adalah waktu kritikal negara memerlukan tindakan drastik dari pimpinan negara.

“Dana rizab negara diperlukan buat masa ini dan billionaire-billionaire negara wajib dikerah membantu dan menyumbang di waktu getir ini, “katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here