Bantuan kewangan untuk asnaf MAIWP diawalkan

0
110
Datuk Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri

CYBERJAYA – Bantuan kewangan bulanan untuk asnaf di bawah Baitulmal Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) akan diawalkan dengan dimasukkan secara berperingkat bermula hari ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Zulkifi Mohamad al-Bakri berkata, pembayaran awal itu bertujuan meringankan beban asnaf khususnya untuk mendapatkan barangan keperluan asasi dalam situasi semasa.

“Bantuan ini biasanya disalurkan pada setiap 25 hari bulan telah mula dimasukkan ke akaun bank penerima secara berperingkat bermula hari ini.

“Ia melibatkan jumlah keseluruhan RM8.94 juta kepada 22,000 asnaf. Ini bertujuan meringankan beban asnaf khususnya untuk mendapatkan barangan keperluan asasi dalam situasi semasa,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, katanya, prihatin dengan situasi semasa Covid-19, pihaknya juga telah menggerakkan misi #MusaadahCOVID19 sebagai usaha meringankan beban asnaf dan petugas hadapan Covid-19 sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan.

Beliau berkata, agensi-agensi di bawah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) telah memulakan misi #MusaadahCOVID19 di Wilayah-wilayah Persekutuan dan negeri-negeri lain yang telah dikenal pasti.

Sementara itu, beliau berkata, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawu) melalui Jawi Food Bank dengan kerjasama Restoran Ali Maju telah menyumbangkan makanan kepada petugas hadapan Covid-19 di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) tengah hari ini.

“Misi #MusaadahCOVID19 akan diteruskan sehingga minggu hadapan dan saya akan pastikan semua sumbangan sampai kepada sasaran yang dikehendaki.

“Saya ingin menyeru dan menggesa badan-badan korporat melalui program tanggungjawab sosial korporat (CSR) masing-masing untuk turut menyumbang kepada rakyat yang memerlukan bantuan sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan,” ujarnya. -MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here