Bantulah peniaga kecil

0
183

Oleh NURUL FIRDAUS KHAIRI

KUALA LUMPUR – Institusi perbankan diminta melonggarkan syarat pinjaman mudah, khususnya kepada peniaga kecil yang mendapat ‘tempias’ kelembapan ekonomi berikutan penularan Covid-19.

Pengerusi Hal Ehwal Usahawan, Persatuan Alumni Universiti Teknologi MARA (PAUiTM), Ahmad Muzakkir Hamid ketika mengetengahkan cadangan itu berkata, majoriti usahawan kecil tidak akan melepasi tapisan kelulusan pinjaman oleh bank kerana kebanyakan mereka tiada akaun simpan kira-kira.

“Jika ada pun hanya lesen SSM (Suruhanjaya Syarikat Malaysia) dan lesen kedai, jadi bank-bank mestilah melonggarkan syarat kepada peniaga kecil ini untuk memberi pinjaman.

“Kita menyambut baik dan berterima kasih pada kerajaan kerana begitu bertanggungjawab terhadap keselamatan serta kesihatan rakyat dengan melanjutkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sehingga 14 April ini,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Bagaimanapun katanya, di sebalik lanjutan itu, ia memberi kesan besar kepada peniaga termasuk usahawan kecil yang berdepan risiko ‘gulung tikar’ jika bantuan diumumkan tidak sampai ke golongan sasar.

Tegasnya lagi, bantuan oleh kerajaan dalam apa juga bentuk yang diumumkan perlu disegerakan kepada peniaga kecil ini, manakala pelaksanaan dan dokumentasi mestilah dimudahkan.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini mengumumkan PKP dilanjutkan sehingga 14 April ini selepas kerajaan mendapati kes baharu Covid-19 masih wujud.

Manakala Bank Negara Malaysia (BNM) mengumumkan pelaksanaan moratorium automatik, berkuat kuasa 1 April ini membabitkan pembayaran balik pinjaman sedia ada, termasuk gadai janji dan sewa beli untuk tempoh enam bulan.

Langkah penangguhan itu meliputi individu dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS), namun tertakluk kepada syarat tertentu seperti mempunyai rekod pembayaran yang baik serta tiada tunggakan selama lebih daripada 90 hari, setakat 1 April ini. -MBNews

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here