Banyak keajaiban, Malakat Mall satu daripadanya

0
6554

PENULIS bertemu Coach Fadzil buat pertama kali semasa sesi temuduga untuk mendapatkan kerja pada penghujung tahun lalu. Ketika itu saya baharu kehilangan pekerjaan apabila majikan lama, Utusan Melayu (M) Berhad digulungkan tikar.

Bersama beberapa lagi rakan dari syarikat lama, kami diterima bekerja sebagai kakitangan kumpulan media untuk syarikat milik beliau. Menjadi warga kerja di kumpulan syarikat tadika montessori Islam terbesar itu saya andaikan sebagai satu ‘keajaiban’.

Ketika itu, saya hanya mampu mengucapkan syukur namun di dalam hati masih tertanya-tanya, apakah nilai yang ada pada kumpulan kami kira-kira seramai 10 orang untuk diterima di Brainy Bunch. Ia bukanlah jumlah penggajian yang kecil apatah lagi untuk satu portal media yang baru mahu bertapak.

Sebagai warga baharu dalam Brainy Bunch, tidak banyak yang kami tahu mengenai jenama hijau kuning itu. Nama-nama seperti Raudhahville, Raudhah Pay, Raudhah Mart dan Malakat Mall ketika itu masih begitu asing.

Di Brainy Bunch, kami didedahkan dengan pelbagai program berkaitan perniagaan. Penganjuran acara inhouse seperti seminar, forum dan konvensyen adalah sebahagian daripada rutin mingguan.

Kami tidak mengambil masa yang lama untuk menyedari entiti perniagaan milik Coach Fadzil itu bukan seperti kebanyakan institusi perniagaan lain. Tanggapan kami ketika itu berubah 360 darjah, Brainy Bunch bukan sekadar syarikat tadika.

Salah satu ‘keajaiban’ yang disaksikan kami ketika mula bertugas dalam syarikat yang memiliki kira-kira 1,300 kakitangan itu adalah pembukaan Malakat Mall.

“Malakat Mall akan mula beroperasi selewat-lewatnya Mac pada tahun ini. Ia akan menjadi pusat beli-belah berkonsepkan pusat perniagaan Islam yang pertama di dunia,” kata Coach Fadzil atau nama penuhnya Mohd. Fadzil Hashim.

Terpinga-pinga kami ketika itu. Tidak pernah terbayang sebuah syarikat tadika mampu melebarkan sayap perniagaan menjadi pemilik sebuah pusat beli-belah di Cyberjaya.

Mulanya ia kedengaran seperti ‘cakap kosong’ namun hari demi hari, segala persiapan dan pelaksanaan berjalan begitu lancar. Pejam celik, cetusan idea Coach Fadzil itu kini sudahpun menjadi realiti.

Esok, Jumaat 13 haribulan Mac 2020 menandakan detik bersejarah kepada umat Islam di negara ini khususnya apabila sebuah pusat beli-belah serba moden dibuka kepada umum.

Walaupun tidak akan beroperasi sepenuhnya, kemeriahan suasana telah pun dirasai sejak beberapa hari lalu. Salah satu tumpuan utama di Malakat Mall adalah Raudhah Grocer, sebuah pasar raya hypermart yang menghimpunkan ribuan produk keluaran muslim.

Bertentangan dengannya adalah restoran Bunch-Oh yang sudahpun memulakan transaksi percubaan semalam. Menawarkan pelbagai menu Barat dan tempatan, restoran dengan dekorasi bistro setanding jenama-jenama F&B antarabangsa ini boleh dikatakan penanda aras kepada piawaian premis perniagaan di Malakat Mall.

Malakat Mall juga menempatkan sebuah restoran fine dining iaitu Casa de Madani yang diketuai oleh chef berpengalaman luas dan antara 500 chef terbaik di dunia.

Sebahagian daripada jenama perniagaan lain di Malakat Mall adalah Tahan Sports, Jojo Shoes, Petak, Conteng, Eebu, C&E, 2358 Fashion, Himawari, Togomen Homme, DIY Malaya dan Iqra Read Bookstore.

Selain tarikan pada premis perniagaan yang dimiliki oleh usahawan muslim, ramai masih tidak merasai ‘aura’ yang ada di Malakat Mall kecuali mereka yang telah datang sendiri melihatnya.

Malakat Mall juga adalah satu-satunya pusat beli-belah di negara ini yang mempraktikkan amalan patuh syariah dan menghidupkan syariat Islam seperti laungan azan, solat berjemaah dan solat Jumaat. Bahkan peniaga dan pengunjung juga bebas untuk bersolat di mana-mana sahaja di dalam mall.

Sesi ta’lim dan bacaan habis yang diadakan pada setiap pagi di Malakat Mall, Cyberjaya.
Solat zohor di Malakat Mall.

Sebagai tarikan golongan muda, Malakat Mall juga menawarkan aktiviti mencabar zipline yang dibina di tingkat 3 bangunan berkenaan.

Alhamdulillah, berkat doa daripada semua. Idea yang pada mulanya dikatakan tidak mungkin terlaksana itu akhirnya menjadi kenyataan.

Majlis pra-pembukaan Malakat Mall yang bermula pada pukul 10 pagi esok diharap bukan sahaja menjadi ikon kebanggaan umat Islam bahkan dapat dijadikan contoh terbaik kebangkitan ekonomi Islam di rantau ini.

Dan Malakat Mall Cyberjaya bukanlah yang pertama dan terakhir.

Coach Fadzil sebagai pengasas Malakat Mall menyasarkan 10 pasar raya atau pusat beli-belah seumpama itu dibuka dalam tempoh setahun dengan sasaran 100 Malakat Mall dalam tempoh sedekad.

“Selepas Malakat Mall Cyberjaya, sebuah lagi Malakat Mall akan memulakan operasi di Masjid Tanah, Melaka pada pertengahan tahun ini.

“Saya menyeru kepada jutawan dan bilionaire Islam supaya tampil bersama-sama mengukuhkan ekonomi ummah.

“Contohnya sudah ada dengan kejayaan Malakat Mall. Insyallah inilah masa kita,” katanya -MT .

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here