Barisan hadapan Zero Hunger terus berjuang

0
172

RAUDHAH CITY – Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan kerajaan menyaksikan pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) tampil membantu meringankan beban golongan memerlukan di negara ini.

Tidak terkecuali sukarelawan program Zero Hunger anjuran Malakat Mall dengan kerjasama Yayasan Brainy Bunch meneruskan misi menghantar sumbangan berupa barangan keperluan asas kepada golongan yang terjejas berikutan PKP itu.

Namun siapa sangka sukarelawan boleh dianggap wira tidak didendang yang bertungkus lumus menjayakan misi itu.

Menerusi hantaran akaun Facebook bernama Meor Ezree Syzrin, sukarelawan itu merupakan barisan hadapan kerana mengambil risiko untuk memastikan bekalan makanan tidak putus.

“Sebenarnya di belakang tabir Malakat Mall, Brainy Bunch dan Koperasi Pembangunan Pengguna Islam Malaysia (KoPPIM), ramai yang sedang bertungkus lumus saling bantu membantu. 

“Secara langsung atau tidak langsung mereka akan memastikan perjuangan mencapai matlamat. Hargailah mereka,” katanya dalam hantaran tersebut.

Beliau juga memuat naik beberapa keping gambar sukarelawan menyusun barangan dan diletakkan dengan kemas sebelum diagihkan kepada golongan memerlukan.

Selain itu, makanan juga disediakan untuk disumbangkan kepada barisan hadapan yang terlibat dalam PKP selain golongan memerlukan yang keputusan bekalan.

Menurut Meor yang juga Pengasas Eco Millennium Beranang, walaupun sistem mereka tidak secanggih atau yang telah lama bertapak dalam sektor peruncitan namun sekurang-kurangnya ucaplah terima kasih atas pengorbanan yang disumbangkan.

“Mereka berusaha sedaya upaya untuk membantu turun ke jalanan dan memastikan sampai kepada yang memerlukan.

“Bagi mereka yang duduk di rumah sepanjang PKP ini, doakan semoga sukarelawan ini diberi kekuatan dan dilindungi daripada wabak Covid-19,” ujarnya.

Sehubungan itu beliau menyeru orang ramai di luar sana untuk terus menyumbang ke www.sadaqahmarket.com dalam membantu peniaga-peniaga kecil, pasar malam, berpendapatan harian serta ibu tunggal tidak putus bekalan makanan.

Selain itu, bagi memastikan rantaian pembekalan makanan boleh diterus dan diperluaskan ke seluruh negara masyarakat diminta mendaftar dan membeli syer KoPPIM di www.koppim.com.my .

“Semoga kita semua sudah bersiap sedia dengan segala apa kemungkinan yang bakal berlaku kedepan nanti,” katanya. – MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here