Bekalan makanan masih cukup, jangan panik

0
80

CYBERJAYA – Kerajaan mahu rakyat tidak percaya kepada penyebaran berita-berita palsu melalui saluran media bukan utama yang boleh mencetuskan pembelian panik.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, rakyat tidak perlu bimbang sehingga membuat pembelian panik kerana percaya kepada berita palsu.

“Hari ini jawatankuasa khas mengenai bekalan makanan dan keperluan telah membentang, hasil dapatan mereka mengatakan bahawa makanan adalah mencukupi.

“Mereka sudah meninjau di sebanyak 27 pasar raya dan hypermarket dan mendapati makanan asas masih boleh didapati dengan mudah. Rakyat tidak perlu berasa bimbang untuk membuat pembelian panik dan sebagainya,” katanya dalam sidang akhbar hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas penularan senarai kawasan yang akan dikenakan ‘lockdown’ secara total yang direka dan disebar melalui medium tidak sah.

Bagaimanapun Ismail menjelaskan, jaminan bekalan makanan mencukupi untuk rakyat negara ini tidak mengambil kira secara khusus jenama-jenama tertentu.

“Cuma satu saya mesti tekankan di sini, kalau beras jenama A tidak ada, masih ada beras jenama-jenama lain,” katanya.

Ismail Sabri Yaakob

Sehubungan itu katanya, kerajaan mengucapkan terima kasih kepada pihak pengurusan pasar raya dan hypermarket yang telah mematuhi arahan penjarakkan sosial dan mengehadkan jumlah kemasukan pelanggan dalam premis.

“Terima kasih kepada peniaga dan pengguna yang patuh. Ada yang barisannya panjang dan mereka menunggu dengan penuh sabar,” katanya.

Dalam pada itu, Ismail berkata, operasi nyah cemar akan dilakukan esok oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan dengan kerjasama pihak berkuasa tempatan, Angkatan Tentera Malaysia, Pasukan Bomba dan Penyelamat dan SWCorps.

“Antara lokasi adalah di Pasar Besar Jalan Othman; Sungai Ramal, Kajang dan beberapa tempat lain,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here