Bekas Menteri Besar Selangor sedia tawar kepakaran

0
86
Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim bertemu Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Ahdi Awang dikediamannya, kelmarin

CYBERJAYA – Bekas Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim bersedia untuk menghulur tangan dan memberi khidmat kepada kerajaan baharu jika diperlukan.

Beliau berkata, pada waktu sekarang amat penting bagi Pas untuk mengambil peluang membina kepercayaan rakyat sebagai kerajaan yang amanah, cekap dan telus.

“Insya-Allah, jika diperlukan, saya bersedia menghulur tangan membantu dan memberi khidmat. Amat penting bagi Pas untuk mengambil peluang untuk membina kepercayaan rakyat sebagai kerajaan yang amanah, cekap dan telus,” katanya dalam laman Facebook miliknya hari ini.

Selepas dipecat daripada PKR akibat kemelut perebutan jawatan Menteri Besar Selangor pada 2014, Abdul Khalid terus meminggirkan diri daripada politik dan hanya bertindak sebagai Penasihat Ekonomi Kerajaan Terengganu bagi menawarkan kepakarannya untuk pembangunan negara dan rakyat.

Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menghadiahkan sebuah buku kepada Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim

Dalam status sama, Abdul Khalid juga mengucapkan terima kasih kepada Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang meluangkan masa berkunjung ke rumahnya, kelmarin.

“Seperti biasa, kami membincangkan masalah dan cabaran ummah bukan sahaja di rantau ini tetapi juga di Timur Tengah. Memang banyak yang perlu dilakukan dan kami tekad mencari jalan dan strategi untuk menguatkan perpaduan ummah.

“Pastinya politik tanah air juga sempat disentuh. Saya mengambil kesempatan mengucapkan tahniah kepada Tuan Guru kerana menjadi sebahagian kepada usaha penyelesaian polemik kepimpinan negara pada minggu lalu yang mana akhirnya rakyat menyaksikan tertubuhnya kerajaan baharu,” ujarnya.

Sementara itu, beliau berkata, situasi yang berlaku pada masa sekarang sangat mencabar dan memerlukan niat serta iltizam yang kuat untuk penyatuan ummah.

Katanya, tanpa niat yang betul serta istiqomah, kemelut yang berlaku itu tidak akan dapat diselesaikan dengan baik.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here