Bengkel Microstockers Malaysia ‘sold out’ dalam masa 6 jam

0
540
Sebahagian daripada 100 peserta yang menyertai Bengkel Microstock anjuran Microstockers Malaysia di i-Space, Menara Vads, Taman Tun Dr. Ismail, Ahad lalu

KUALA LUMPUR – Lebih 100 peminat fotografi dari seluruh negara berhimpun dalam bengkel ‘fotografi stok’ anjuran kelab Microstockers Malaysia di i-Space, Menara Vads, Taman Tun Dr. Ismail, Ahad lalu.

Program anjuran komuniti laman Facebook yang mempunyai lebih 2,000 ahli itu merupakan yang julung kali diadakan sebagai platform perkongsian pengetahuan berkaitan penjualan karya fotografi secara dalam talian.

Bengkel yang bermula dari pukul 8 pagi hingga 5 petang itu mengetengahkan lapan penceramah yang pakar dalam pelbagai bidang fotografi.

Barisan pengajar terdiri daripada Abdul Latif Omar (fotografi studio dan konseptual), Farizun Amrod (ilustrasi vektor); Faiz Zaki dan Mawardi (fotografi gaya hidup, pengendalian model), Hendrik Sulaiman (pengendalian dron), Hafidz Abdul Kadir (timelapse dan hyperlapse), Mohd Ezairi (video pelancongan) dan Mahathir Mohd Yassin (disiplin microstock).

Pengasas Microstockers Malaysia, Mahathir Mohd Yassin berkata, pihaknya menerima sambutan luar biasa dalam kalangan peminat fotografi apabila 96 slot penyertaan habis ditempah dalam masa 6 jam.

  “Bengkel fotografi stok atau ‘stock photography’ yang diadakan ini menyasarkan mereka yang sudah berkecimpung dalam bidang ini dan memahami asas-asas utamanya. Ia boleh dikira sebagai kursus peringkat pertengahan.

“Melalui program ini kami harap dapat berkongsi tips dan teknik yang berkesan untuk menambah pendapatan daripada hasil jualan gambar secara online.

“Bagi mereka yang baru bermula, kursus ini boleh dianggap sebagai ‘jalan pintas’ untuk memahami amalan terbaik, peraturan dan pantang-larang dalam industri ini secara komprehensif,” katanya yang mewujudkan laman Microstockers Malaysia Facebook sejak lebih tujuh tahun lalu.

Microstockers Malaysia adalah komuniti fotografi stok terbesar di negara ini dan merupakan medium berinformasi dalam perkongsian ilmu fotografi yang menjana pendapatan sampingan itu.

Sementara itu, pemilik Laboo Studio, Hamidi Izwan selaku penganjur acara berkata, walaupun laman Microstockers Malaysia di facebook menyediakan peluang kepada semua ahli untuk mengemukakan persoalan, penganjuran program itu diharap dapat merapatkan lagi ukhwah dan hubungan sesama ahli atau ‘stockers’.

Katanya, Bengkel Microstockers Malaysia 2020 dalam kata lain juga adalah ‘reunion’ komuniti selain penganjuran sesi fotografi berskala kecil atau ‘outing’ sebelum ini.

Hamidi berkata, melihat kepada sambutan baik daripada peserta, pihaknya bercadang untuk memperluaskan lagi penganjuran bengkel pada tahun ini termasuk ke Sabah dan Sarawak.

Penganjuran program turut mendapat penajaan syarikat fotografi YL Camera Services Sdn Bhd dan pengedar peralatan fotografi, Leomax (M) Sdn Bhd. – MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here