Beri perhatian rakyat tiada caruman KWSP

0
64

CYBERJAYA – Kerajaan diharap dapat memberi perhatian kepada golongan yang tiada caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) berikutan turut terkesan wabak Covid-19.

Menurut laporan Bernama, Pensyarah kanan Fakulti Ekonomi dan Pentadbiran Universiti Malaya, Dr. Mohammad Tawfik Yaakub berkata, keprihatinan kerajaan dalam menyediakan inisiatif berkaitan akan dapat melindungi golongan itu.

“Dalam situasi begini, institusi kerajaan yang mempunyai autonomi kewangan dan bidang kuasa boleh membantu menerusi pengecualian sewa atau bantuan segera kewangan kepada peniaga berdaftar dan berlesen.

“Sementara itu institusi agama seperti zakat dan masjid yang mempunyai pendapatan besar boleh memainkan peranan lebih aktif membantu golongan ini,” katanya.

Pada masa sama beliau berpendapat, langkah membenarkan 12 juta ahli KWSP mengeluarkan simpanan yang dijangka berjumlah RM40 bilion bermula 1 April ini, dapat membantu kerajaan untuk lebih menumpukan penyaluran dana lebih besar kepada sektor kesihatan negara.

“Pastinya (inisiatif itu) memberi kelebihan kepada rakyat Malaysia khususnya pekerja sektor swasta untuk mempunyai wang tunai tambahan.

“Tunai tambahan ini penting kerana kadar belanja isi rumah ketika Perintah Kawalan Pergerakan akan semakin meningkat,” katanya.

Beliau berkata, belanjawan negara sebelum ini lebih banyak diperuntukkan kepada sektor pendidikan, oleh demikian, sektor kesihatan sewajarnya memperoleh kedudukan yang sama dari segi dana.

“Pembinaan hospital baharu juga perlu mengikut nisbah penduduk dan doktor. Negara juga memerlukan teknologi yang lebih maju, serta penambahan warga kerja sektor kesihatan awam di kawasan pedalaman.

“Standard di negara maju, nisbah doktor kepada pesakit adalah 1:400. Namun kita masih lagi tertinggal jauh dengan nisbah 1:758,” katanya.-MBNews

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here