Beruntung kita masih ada raja

0
162
Istana Negara

ALHAMDULILLAH kemelut politik negara yang tercetus pada minggu lalu berakhir dengan pertimbangan yang cukup bijaksana dan berhemah oleh Yang di-Pertuan Agong tanpa sebarang kekecohan dan kekusutan.

Namun tidak dinafikan, amukan ketaksuban parti masih belum surut dan reda sepenuhnya. Dalam laman-laman portal berita dan politik, kata-kata kesat masih dihembur kepada pemimpin termasuk Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Sehingga semalam sahaja, sebanyak 10 kertas siasatan berhubung perkara itu dibuka oleh pihak polis. Buat masa ini, hanya ketegasan pihak berkuasa sahaja dilihat sebagai alat paling berkesan dalam penyelesaiannya.

Pertukaran kerajaan tidak sepatutnya membawa kepada ketidakstabilan sosial yang boleh mencetuskan rusuhan dan pergaduhan. Budaya menghina, memukul dan memberontak tidak wajar dipertonton secara beterusan terutama kepada tatapan generasi muda demi masa depan politik negara yang lebih matang.

Walaupun benar kemelut politik baru-baru ini menimbulkan kesukaran dalam mencapai keputusan, namun penulis melihat demokrasi di negara ini masih lagi dipertahankan. Cuma ia terpaksa melalui satu proses yang tidak pernah berlaku, namun tetap sah di sisi Perlembagaan.

Di situlah kita melihat peranan penting Yang di-Pertuan Agong sebagai ketua negara dalam membuat keputusan mengatasi kepentingan politik untuk mengelak negara dari ancaman kekacauan, keganasan, kemelesetan ekonomi dan sebagainya.

Tindakan segelintir pihak yang cuba memberi tanggapan demokrasi sudah mati di Malaysia juga dilihat tidak berasas kerana sistem raja berperlembagaan telah menetapkan kuasa melantik Perdana Menteri terletak pada Yang di-Pertuan Agong.

Keputusan Seri Paduka Baginda menemubual sendiri 221 ahli Parlimen dalam mencari penyelesaian terbaik harus dihadam secara rasional. Tindakan mendapatkan pengakuan secara peribadi setiap seorang itu tidak lain tidak bukan adalah untuk mendapatkan pengesahan kepercayaan tentang landskap politik negara yang tidak pernah berlaku sebelum ini.

Namun kuasa itu tidak sesekali memberi ruang kepada raja untuk bertindak tidak adil kerana keputusan itu dibuat berdasarkan kepercayaan atau pendapat Seri Paduka kepada calon mana (ahli Parlimen) yang mempunyai sokongan majoriti dan bukannya melihat kepada bilangan SD semata-mata.

Bahkan perbalahan mengenai bilangan SD jika dibiarkan berpanjang sudah tentu tidak berkesudahan. Tindakan itu membuktikan baginda sendiri memahami keresahan rakyat dan para pemimpin terhadap hala tuju dan perebutan kuasa yang bakal berlaku.

Selepas apa yang berlaku penulis melihat hikmah di sebaliknya. Hikmah yang memberi ‘jalan pintas’ kepada rakyat untuk menyatakan semula sokongan mereka kepada pemimpin tidak lama lagi.

Justeru kerajaan Pakatan Harapan sewajarnya menerima hakikat pertukaran kuasa berlaku kerana silap sendiri seperti mana Tun Dr. Mahathir Mohamad mengakui silap percaturan. Walaupun dalam keterpaksaan terimalah hakikat peralihan itu dan sebarang bantahan boleh dibuat secara gentlemen melalui undi tidak percaya di Parlimen nanti.

Jika cukup korumnya, jawatan yang dipegang oleh Tan Sri Muhyiddin tetap akan jatuh dan Parlimen akan dibubar untuk proses pilihan raya semula. Tidak ada apa yang perlu ditakutkan. Jika rakyat masih mahukan PH, mereka pasti akan menang dalam Pilihan Raya Umum Ke- 15.

Dan sudah tentu bagi kerajaan baharu, peluang yang diberikan kali ini adalah ujian yang cukup getir dan mencabar. Dalam masa yang singkat (sebelum pilihan raya) seterusnya, kalian perlu melakukan yang terbaik sebelum dihakimi sekali lagi oleh rakyat.

Apa pun syukurlah kita kepada Allah. Walaupun seminggu berkalutan, ia memberi banyak pengajaran dan ramai mula sedar bahawa kewujudan Raja-raja Melayu bukan hanya sekadar simbol bahkan ia menjadi pengimbang kestabilan politik.

Sedangkan politik kepartian datang dan pergi. Institusi raja tetap berdiri. -MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here