Bos Mydin minta orang ramai bertenang

0
195

CYBERJAYA – Pemilik rangkaian pasar raya Mydin menggesa orang ramai untuk kekal bertenang ketika gelombang pembelian panik berlaku di negara sejak semalam.

Pengarah Urusan Mydin Mohamed Holdings Bhd., Ameer Ali Mydin berkata, tiada keperluan untuk orang ramai panik kerana bekalan barang keperluan adalah mencukupi.

“Jangan mulakan pembelian panik. Pengeluar kami memberi jaminan yang barangan keperluan masih mencukupi. Mari kita jadi bertimbang rasa antara satu sama lain.

“Kita akan menjadi lebih kuat hanya jika kita bersatu sebagai rakyat Malaysia. Kita boleh melakukannya dengan semangat Malaysia Boleh, kekal bertenang dan berharap,” katanya dalam satu hantaran dalam Instagram miliknya hari ini.

Dalam hantaran yang sama, Ameer Ali turut memuat naik gambar salah satu cawangan pasar raya Mydin yang kelihatan dipenuhi pelanggan sejak pagi tadi untuk membeli barangan.

Semalam, gelombang pembelian panik bermula dengan kebimbangan bahawa kerajaan akan mengeluarkan perintah berkurung untuk membasmi penularan wabak Covid-19.

Bagaimanapun, melalui pengumuman Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin malam tadi, kedai-kedai runcit akan kekal dibuka dan tidak akan terkesan dengan Perintah Kawalan Pergerakan yang akan berkuat kuasa mulai esok.

Pakar-pakar kesihatan turut memberi amaran mengenai pembelian panik kerana ia boleh membawa kepada risiko jangkitan wabak Covid-19.

Sementara itu, Ameer Ali berkata, warga emas dan orang kurang upaya (OKU) boleh mula memasuki pasar raya tersebut setengah jam lebih awal, iaitu pukul 7.30 pagi bermula esok.

“Ini adalah eksklusif hanya untuk warga emas dan OKU. Kami juga membuka laluan pembayaran khas untuk golongan ini.

“Mereka adalah golongan yang paling terkesan pada masa sukar ini. Jadi, mari berikan mereka masa dan ruang untuk membeli keperluan.

Selain Mydin, pasar raya Jaya Grocer juga turut mengumumkan akan dibuka pada pukul 9.30 pagi untuk warga emas dan OKU supaya mereka boleh membeli barangan dalam persekitaran yang selamat dan tanpa bimbang.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here