‘Bukan tugas mudah’

0
46

CYBERJAYA – Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin mengakui tanggungjawab yang dipikul bukan tugas yang mudah.

Beliau berkata, amanah yang diberikan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin kepadanya akan memastikan kementerian itu menjadi pemacu utama dalam membawa Malaysia melepasi cabaran yang disasarkan.

“Bagi menempuh cabaran global dengan teknologi moden serba pantas selain daripada sasaran Malaysia ke arah negara berpendapatan tinggi, kementerian ini pastinya akan menjadi pemacu utama yang memandu Malaysia melepasi cabaran bagi mencapai sasaran tersebut,” katanya dalam hantaran akaun Facebook milik beliau malam tadi.

Khairy juga menambah, beliau turut mengucapkan terima kasih kepada bekas menteri tersebut, Yeo Bee Yin atas khidmat yang baik.

“Agenda pemerkasaan sains dan inovasi dalam segenap segmen masyarakat akan diteruskan untuk memacu kemajuan negara,” ciapnya dalam akaun Twitter miliknya.

Terdahulu, beliau mengucapkan rasa syukur selepas selesai mengangkat sumpah sebagai ahli Jemaah Menteri di hadapan Yang di-Pertuan Agong di Istana Melawati, Putrajaya petang tadi.

Selain itu beliau juga mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan seluruh kepemimpinan Parti serta Barisan Nasional atas ruang kepercayaan yang diberikan.

“Saya mohon sokongan dan dokongan seluruh rakyat Malaysia,” katanya. – MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here