Cemerlang 9A+ walaupun hadapi pelbagai cabaran

0
239

PUTRAJAYA – Ingin menjadi contoh terbaik kepada adik-adik membuatkan Said Ramdan, 18, berusaha bersungguh-sungguh untuk mencatat keputusan cemerlang 9A+ alam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Namun, kejayaan tersebut tidak datang dengan mudah kerana Said terpaksa berdepan pelbagai cabaran sebelum menduduki SPM termasuk kehilangan ibu tercinta beberapa bulan sebelum peperiksaan.

Berkongsi kisah hidupnya, Said yang merupakan anak pertama daripada tujuh beradik berkata, ibunya, Jawariah Abdul Rafar meninggal dunia akibat pendarahan otak ketika berumur 37 tahun.

“Sebelum ini, ibu adalah penguat semangat saya. Selepas ibu tiada saya jadikan ayah dan adik-adik untuk saya terus berjaya. Ibu ada pesan, untuk saya tengokkan adik-adik agar berjaya.

“Saya belajar seperti biasa, tiada rahsia. Cuma saya jaga setiap amalan seharian. Selepas ini saya berhasrat untuk sambung pengajian di luar negara dalam bidang perakaunan,” katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.

Said juga bertuah kerana keputusan cemerlangnya disampaikan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mengadakan lawatan mengejut ke Sekolah Sultan Alam Shah (SAS) hari ini.

Said yang berasal dari Temerloh, Pahang berkata, ayahnya, Ramdan Nayan juga banyak memberi dorongan kepada untuk berjaya dan walaupun sentiasa sibuk mencari rezeki untuk keluarga.

“Ayah saya merupakan guru al-Quran selain menjual di pekan sehari di Temerloh. Semasa menunggu keputusan SPM baru-baru ini juga saya ada membantunya menjual di pekan sehari,” katanya.

Sementara itu, seorang lagi pelajar cemerlang SAS, Farid Najmi Nur Firdaus Seet berkata, beliau tiada sebarang rahsia untuk berjaya dan hanya memberi tumpuan 100 peratus dalam kelas.

“Untuk belajar tiada paksaan, saya hanya belajar dalam kelas sahaja. Jika tidak faham, saya boleh terus bertanya kepada guru. Untuk saya, tiada kaedah belajar awal pagi atau sehingga lewat malam.

“Rehat yang cukup adalah amat penting, tidur awal dan bangun awal. Pada waktu pagi saya juga ada solat tahajud, berdoa kepada Allah,” katanya yang meraih 10A+ yang turut disampaikan oleh Perdana Menteri.

Dalam perkembangan lain, Farid Najmi memaklumkan beliau berhasrat untuk melanjutkan pengajian dalam bidang Sains Komputer di Universiti Tylor sebelum melanjutkan pelajaran ke luar negara.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here