Covid-19: 10 kes baharu dicatat hari ini

0
123

CYBERJAYA – Sebanyak 10 kes baharu didapati positif Covid-19 dicatatkan hari ini menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 93.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, setakat pukul 12 tengah hari tadi, kesemua kes baharu yang dilaporkan merupakan kontak rapat kepada kes ke-33.

Menurut beliau, empat kes iaitu kes85, 86,87 dan 93 merupakan generasi pertama kontak rapat kepada kes ke-33 manakala enam kes baharu ini pula merupakan generasi kedua iaitu kontak rapat kepada kes ke-33 iaitu ke-84, 88, 89, 90, 91 dan 92.

Kata beliau, kesemua kes itu telah dikesan semasa aktiviti pengesanan kontak dan telah dimasukkan ke hospital bagi isolasi dan rawatan selanjutnya.

“Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ingin memaklumkan hasil siasatan terkini terhadap kontak-kontak rapat kepada kes ke-26, mendapati satu kluster jangkitan Covid-19 berkait dengan kes ke-33. 

“Sejumlah 132 kontak rapat telah dikenal pasti berkait dengan kes ini. Daripada jumlah tersebut, 18 kes telah disahkan positif, kini masih dirawat di hospital dan berada dalam keadaan stabil. 

“Manakala, 38 kontak rapat adalah negatif dan diletakkan di bawah perintah pengawasan dan pemerhatian di rumah untuk tempoh 14 hari,” katanya dalam kenyataan di sini. 

Tambah Noor Hisham, keputusan makmal bagi 76 lagi kontak rapat masih belum diperoleh namun semua kontak rapat itu dilaporkan sihat dan diletakkan di bawah perintah pengawasan dan pemerhatian di rumah.

KKM masih menjalankan siasatan dan aktiviti pengesanan kontak rapat masih diteruskan bagi mengenal pasti punca di mana kes mendapat jangkitan dan seterusnya mencegah penularan jangkitan tersebut,” ujarnya.

Beliau berkata, pihaknya memaklumkan kes ke-78 yang dilaporkan pada 6 Mac lalu merupakan kes yang dikesan daripada ‘Patient Under Investigation’ (PUI). 

Tambah beliau, kes ini mempunyai sejarah perjalanan ke Indonesia selama tujuh hari bermula pada 13 Februari dan mula bergejala pada 19 Februari lalu. 

“Sebanyak 67 kontak rapat telah dikesan dan diambil sampel. Kesemua kontak rapat ini telah diletakkan di bawah perintah pengawasan dan pemerhatian di rumah.

“Dengan pertambahan 10 kes baharu ini, menjadikan jumlah kumulatif kes positif Covid-19 di Malaysia adalah sebanyak 93 kes.

Menurut beliau, kes-kes positif ini adalah dalam kalangan PUI jangkitan Covid-19, kontak rapat, dan Misi Bantuan Kemanusiaan. 

Beliau berkata, daripada jumlah itu, 75 orang adalah warganegara Malaysia, 15 orang adalah warganegara China dan tiga orang adalah lain-lain warganegara iaitu Amerika Syarikat, Jepun serta Itali. – MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here