Covid-19: 117 kes baharu hari ini

0
225

CYBERJAYA – Jangkitan wabak Covid-19 terus menunjukkan peningkatan apabila sebanyak 117 kes positif baharu dilaporkan hari ini, menjadikan keseluruhan 790 kes di Malaysia.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr, Adham Baba berkata, sehingga kini sebanyak 15 kes dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan memerlukan bantuan pernafasan.

“Siasatan mendapati, daripada 117 kes baharu yang dilaporkan, sebanyak 80 kes berkaitan dengan kluster perhimpunan tabligh di Masjid Jamek Seri Petaling.

“Sebanyak 11 kes pulih dan dibenarkan keluar wad hari ini. Ini menjadikan jumlah kumulatif kes yang pulih sepenuhnya adalah 60 kes,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sementara itu, susulan Perintah Kawalan Pergerakan yang bermula hari ini, Dr. Adham berkata, semua negeri dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur diwartakan sebagai kawasan tempatan jangkitan.

Beliau berkata, ia selaras peruntukan mengikut Seksyen 11 Akta Pencegahan dan Kawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).

Sehubungan itu, katanya, Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020 digubal dan diwartakan.

“Peraturan ini menjelaskan perkara yang perlu diambil perhatian dan tindakan oleh orang awam berkaitan dengan Perintah Kawalan Pergerakan bagi membendung penularan jangkitan Covid-19.

“Individu yang melanggar peruntukan boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 7(1) yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM1,000 atau penjarakan sehingga enam bulan atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan,” katanya.

Selain itu katanya, sepanjang perintah kawalan pergerakan itu juga pelawat tidak dibenarkan masuk ke wad hospital kecuali bagi kes kecemasan dan sangat memerlukan.

“Seorang peneman sahaja dibenarkan semasa temujanji klinik kecuali untuk pesakit kanak-kanak atau pesakit yang memerlukan bantuan dan kes kecemasan,” katanya.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here