Covid-19: 159 kes baharu dengan satu kematian hari ini

0
125

PUTRAJAYA – Kementerian Kesihatan hari ini mengesahkan terdapat sebanyak 159 kes baharu setakat pukul 12 tengah hari dengan jumlah kes terkumpul sebanyak 2,320 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, terdapat 61 kes yang telah pulih dan dibenarkan discaj pada hari ini menjadikan kumulatif pulih 320 kes.

Beliau berkata, sehingga kini, sebanyak 73 kes positif Covid-19 sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan daripada jumlah itu, 54 kes memerlukan bantuan pernafasan.

Dr. Noor Hisham berkata, dukacita juga dimaklumkan bahawa sehingga kini, terdapat pertambahan satu kes kematian baru berkaitan Covid- 19 telah dilaporkan ke Crisis Preparedness and Response Centre (CPRC) Kebangsaan.

“Justeru itu, jumlah kumulatif kes kematian Covid-19 di Malaysia adalah sebanyak 27 kes. Kematian ke-27 merupakan kes ke 2,162 iaitu lelaki warganegara Malaysia berumur 61 tahun.

“Beliau mempunyai latar belakang penyakit kencing manis dan darah tinggi. Beliau dirawat di Hospital Tangkak pada 24 Mac dan kemudian dipindah ke Hospital Pakar Sultanah Fatimah, Muar pada 25 Mac.

“Beliau disahkan meninggal dunia pada pukul pukul 10.50 pagi hari jni. Kementerian mengucapkan takziah kepada ahli keluarganya,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Mengulas persiapan yang sedang dibuat untuk menjadikan Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (Maeps) Serdang sebagai Hospital Covid-19, Dr. Noor Hisham berkata, itu hanya persediaan.

“Peringkat permulaan kita peruntukkan 3,400 katil di hospital sedia ada dan tambah keperluan katil di institut latihan kesihatan. Di Maeps, kita sediakan 600 katil, ia persediaan untuk situasi luar jangka.

“Kita ramal pertengahan April berlaku kes yang mendadak namun, kita sudah buat pelbagai persediaan contohnya proses nyahkuman dan sanitasi yang telah dilaksanakan.

“Segala persiapan di Maeps, Serdang dijangka akan siap petang,” katanya.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here