Covid-19: 162 rakyat Malaysia dibawa balik dari Vietnam

0
79
Seramai 162 rakyat Malaysia dibawa balik dari Vietnam.

Oleh SITI KHAIRULNISAH MOHAMMED BAJURI

CYBERJAYA – Seramai 162 rakyat Malaysia yang terkandas di Ho Chi Minh, Vietnam berjaya dibawa balik ke tanah air menggunakan pesawat Malaysia Airlines (MAS), semalam.

Timbalan Menteri Luar, Datuk Kamarudin Jaffar berkata, penerbangan membawa balik kumpulan pelancong yang terkandas itu diselaraskan Pejabat Konsul Jeneral Malaysia di Ho Chi Minh dengan kerjasama Kedutaan Besar Malaysia di Hanoi.

“Dalam pada itu, Malaysia kini juga berusaha membawa balik 51 daripada 86 rakyat negara ini yang terkandas di Kaherah, Mesir menerusi misi repatriasi bersama Kerajaan Brunei, Ahad ini.

“Misi berkenaan akan memberi keutamaan kepada warga emas dan pelancong Malaysia yang terkandas di Kaherah dengan penerbangan dijangka tiba di Bandar Seri Begawan, Brunei pada pukul 8.40 pagi,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar yang disiarkan secara langsung menerusi laman Facebook Kementerian Luar, hari ini.

Kamarudin menjelaskan, usaha itu adalah hasil komunikasi antara Menteri Luar, Datuk Seri Hishammuddin Hussin dengan Menteri Luar II Brunei, semalam.

“Bagi pihak Yang di-Pertuan Agong, Perdana Menteri, kerajaan dan seluruh rakyat Malaysia, patik menjunjung kasih kepada Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah atas perkenan kebenaran 51 rakyat Malaysia untuk turut serta pulang menaiki pesawat dihantar Kerajaan Brunei,” katanya. – MBNews

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here