Covid-19: 2 lagi kes kematian baharu dicatat

0
159

 

CYBERJAYA – Dua lagi pesakit Covid-19 meninggal dunia menjadikan sebanyak lapan kes kematian dicatatkan akibat wabak itu hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, kes kematian ketujuh melibatkan seorang lelaki warga Malaysia berumur 57 tahun yang mempunyai sejarah perjalanan ke Vietnam dan kontak dengan kes positif Covid-19 daripada kluster tabligh.

Beliau berkata, pesakit itu dimasukkan ke Hospital Kuala Lumpur pada 18 Mac lalu setelah mengalami gejala demam, batuk dan sakit tekak selama seminggu.

“Keadaan kesihatan beliau kemudiannya merosot sehingga memerlukan bantuan pernafasan pada keesokan harinya. Beliau disahkan meninggal dunia pada pukul 3.22 petang hari ini,” katanya dalam hantaran menerusi akaun Facebook milik beliau hari ini.

Dr. Noor Hisham menambah, kes kematian kelapan pula melibatkan seorang lelaki warga Malaysia berusia 69 tahun daripada kluster tabligh.

Jelas beliau, pesakit itu dimasukkan ke Hospital Tumpat, Kelantan pada 16 Mac lalu setelah mengalami gejala demam sejak 12 Mac lalu.

“Pesakit itu telah dipindahkan ke Hospital Raja Perempuan Zainab II, Kota Bharu pada 18 Mac lalu setelah didapati keadaan kesihatan merosot dan kemudian memerlukan bantuan alat pernafasan pada keesokan harinya. 

“Pesakit itu disahkan meninggal dunia hari ini pukul 4 petang,” katanya.

Dr. Noor Hisham memberitahu, kes kematian kelima melibatkan seorang wanita berusia 79 tahun warga Malaysia telah dimasukkan ke Borneo Medical Centre pada 16 Mac lalu setelah mengalami demam dan batuk selama lima hari. 

Beliau berkata, pada hari kedua, pesakit itu mengalami kesukaran bernafas namun keluarga tidak mempersetujui dia diberi bantuan alat pernafasan. 

Tambah beliau, pesakit itu dibawa pulang oleh keluarga pada 17 Mac  dan disahkan meninggal dunia sehari kemudian.  

“Pesakit itu mempunyai kontak dengan dua orang lagi yang disahkan positif iaitu anak lelaki dan anak perempuannya,” katanya.

Dr. Noor Hisham berkata, kes kematian keenam melibatkan anak perempuan kes kematian kelima iaitu wanita warga Malaysia berumur 40 tahun yang dimasukkan ke Hospital Umum Sarawak pada 18 Mac setelah mengalami demam dan batuk sejak 7 Mac lalu.

“Pesakit itu disahkan positif Covid-19 pada 19 Mac dan diberikan bantuan pernafasan pada hari sama setelah didapati keadaan kesihatannya semakin merosot.

“Pesakit tersebut disahkan meninggal dnia pada pukul 1.20 petang hari ini,” katanya. – MT


LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here