Covid-19: 28 kes baharu hari ini

0
119

CYBERJAYA – Jumlah kes positif Covid-19 terus meningkat kepada 83 kes apabila Kementerian Kesihatan mengesahkan terdapat 28 kes baharu hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, kes baharu itu terdiri dalam kalangan ‘Patient-Under-Investigati’ on (PUI), kontak rapat dan Misi Bantuan Kemanusiaan.

“Sehingga kini, sebanyak 956 kontak rapat kes berkenaan telah dikenal pasti,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurut Dr. Noor Hisham, daripada jumlah berkenaan, sebanyak 258 kontak rapat kepada kluster kes ke-26 telah dikesan dan diambil sampel.

“Daripada kluster ini, 18 orang telah disahkan positif manakala 70 lagi negatif, namun begitu, mereka diletakkan di bawah perintah pengawasan dan pemerhatian di rumah untuk tempoh 14 hari,” katanya.

Dr. Noor Hisham berkata, sebanyak 170 orang lagi telah berjaya dikesan dan masih menunggu keputusan makmal dan diletakkan di bawah perintah pengawasan dan pemerhatian di rumah.

Selain itu katanya, kementerian masih menjalankan siasatan dan aktiviti pengesanan kontak rapat bagi mengenal pasti punca jangkitan dan seterusnya mencegah penularan wabak berkenaan.

Katanya, kementerian juga telah menjalankan survelan Covid-19 bagi mengesan kes sporadik dan kes tempatan di Malaysia melalui pesakit ‘influenza-like-illness’ (ILI) dan ‘severe acute respiratory infection’ (SARI) yang tiada kaitan dengan sejarah perjalanan ke negara-negara yang terjejas atau kontak kes positif.

“Sehingga hari ini, sebanyak 430 sampel telah diuji dan setakat ini tiada sampel dikesan positif jangkitan Covid-19.

“Berdasarkan maklumat semasa, buat masa ini tiada kes sporadik Covid-19 yang dikesan melalui aktiviti survelan ini,” katanya.

Sementara itu, Dr. Noor Hisham berkata, bagi kes ke-24 yang sebelum ini positif telah disahkan pulih dan telah discaj dari Hospital Kuala Lumpur.

“Ini menjadikan 23 kes telah pulih sepenuhnya setakat ini,” katanya.

Dalam pada itu katanya, kementerian memaklumkan menerusi ‘Code of Professional Conduct’ di bawah Akta Perubatan 1971 (Pindaan 2012) dan Peraturan Perubatan, pengamal perubatan perlu memastikan kerahsiaan maklumat peribadi pesakit adalah dijaga, kecuali jika pesakit sendiri mendedahkan maklumat beliau secara sukarela.

“Kementerian akan melindungi maklumat peribadi pesakit selain terus menyampaikan maklumat penting terutama yang relevan bagi kepentingan kesihatan awam,” katanya.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here