Covid-19 : 3 kes kematian, 130 kes baharu positif, 44 pulih hari ini

0
67

Oleh NINA FARZUIN MD SHAROM

CYBERJAYA – Kemeterian Kesihatan (KKM) mengesahkan 130 kes baharu  akibat Covid-19 dilaporkan hari ini menjadikan jumlah kes positif Covid-19 di Malaysia adalah sebanyak 2,161 kes.

Ketua Pengarahnya, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, terdapat pertambahan tiga kes kematian berkaitan Covid-19, menjadikan kes keseluruhan kematian sebanyak 26 kes dengan kadar 1.1 peratus.

“Kes kematian ke-24 iaitu kes ke-1,056 adalah seorang lelaki warganegara Malaysia berumur 35 tahun yang mempunyai sejarah perjalanan ke Indonesia. Beliau dirawat di Hospital Kuala Lumpur (HKL) pada 18 Mac dan disahkan meninggal dunia pada 26 Mac pukul 9.30 malam. 

“Kes kematian ke-25 iaitu kes ke-2,032 adalah seorang lelaki warganegara Malaysia berumur 83 tahun yang mempunyai latar belakang penyakit kronik. Beliau dirawat di Hospital Raja Permaisuri Bainun pada 25 Mac dan disahkan meninggal dunia pada 26 Mac pukul 6.55 petang. 

“Kes kematian ke-26 iaitu kes ke-1,321, adalah seorang lelaki warganegara Malaysia berumur 53 tahun merupakan kontak rapat kepada kes positif Covid-19 iaitu kes 1,309. Beliau dirawat di Hospital Sungai Buloh pada 22 Mac  dan disahkan meninggal dunia hari ini pukul 10.30 pagi tadi,” katanya dalam Sidang Akhbar Khas Covid-19 di kementerian itu hari ini.

Menurutnya, terdapat 44 kes yang telah pulih dan dibenarkan discaj, menjadikan jumlah keseluruhan sembuh sebanyak 259 kes.

“Dalam pada itu 54 kes positif sedang dirawat di unit rawatan rapi (ICU) dan 34 daripada jumlah tersebut memerlukan bantuan pernafasan,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here