Covid-19 : 3,400 katil, kadar penggunaan semasa 20 peratus

0
100

CYBERJAYA – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) buat masa ini mempunyai 3,400 katil di 26 hospital seluruh negara yang berkeupayaan mengendalikan kes Covid-19.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, daripada jumlah katil yang disediakan itu pihaknya menganggarkan sebanyak 20 peratus sedang digunakan bagi kes-kes harian.

Dr. Noor Hisham berkata, daripada jumlah katil yang ada itu, sebanyak 1,350 adalah katil yang disediakan di Hospital Sungai Buloh, Selangor yang kini dikhususkan sebagai hospital Covid-19.

“Hospital Sungai Buloh kita telah pindahkan perkhidmatan ke hospital lain dan kita juga kosongkan asrama jururawat hospital itu untuk menempatkan pesakit Covid-19.

“Kita juga telah mengosongkan 300 unit rawatan rapi (ICU) di 26 hospital Covid-19 seluruh negara dan tahap penggunaan pada ketika ini adalah kira-kira 18 peratus,” katanya dalam sidang akhbar harian berkaitan wabak itu di Kementerian Kesihatan di Putrajaya.

Dr. Noor Hisham berkata, sebagai persediaan menampung pertambahan jumlah pesakit, KKM telah menyediakan tempat di hospital dan menangguh kes-kes bukan kecemasan dan bukan Covid-19 ke hospital lain.

“KKM mempunyai kerjasama erat dengan hospital swasta. Dan kes-kes bukan Covid-19 akan dirujuk kepada hospital swasta,” katanya.

Dr Noor Hisham berkata, sehingga kini, sebanyak 37 kes positif Covid-19 sedang dirawat di ICU dan daripada jumlah tersebut, 23 kes memerlukan bantuan pernafasan.

Dalam pada itu, beliau berkata sehingga kini, 19 kakitangan KKM dan lima petugas daripada fasiliti kesihatan swasta disahkan positif Covid-19.

Katanya, dua daripada 19 kakitangan KKM tersebut sedang dirawat di ICU.

Bagaimanapun beliau menegaskan, punca jangkitan bagi semua 19 anggota kesihatan KKM terbabit tidak berpunca daripada ketidak patuhan semasa mengendalikan kes di fasiliti masing-masing.

“Hasil siasatan yang dijalankan mendapati kesemua mereka merupakan kontak rapat generasi pertama dan kedua, melibatkan kluster jemaah tabligh,” katanya.

Sehingga 14 Mac, bilangan anggota KKM yang telah menjalani ujian saringan pengesanan Covid-19 adalah seramai 337 orang. Daripada jumlah tersebut, 251 adalah didapati negatif manakala baki 86 lagi masih menunggu keputusan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here