Covid-19: 39 kes baharu dijangkiti hari ini

0
218

CYBERJAYA – Jangkitan kes Covid-19 mencatatkan 39 kes baharu dilaporkan hari ini.

Menurut Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah, daipada kes baharu ini, sebanyak 38 kes dikesan dalam kalangan ‘Patient-Under-Investigation’ (PUI) jangkitan Covid-19 dan satu kes dalam kalangan kontak rapat.

Beliau berkata, dengan pertambahan jumlah kes baharu itu menjadikan jumlah kumulatif kes positif Covid-19 di negara ini adalah 197 kes.

“Kesemua kes ini telah dikesan dan diasingkan untuk rawatan selanjutnya.

“Sehingga kini, sebanyak empat kes telah dilaporkan memerlukan bantuan pernafasan dan dirawat di Unit Rawatan Rapi. Kes-kes ini juga telah diberikan rawatan anti-viral,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah Noor Hisham, pada gelombang pertama sebanyak 22 kes telah dilaporkan (kes kes-1 sehingga kes ke-22).

Beliau berkata, daripada jumlah itu 12 kes merupakan kes dalam kalangan PUI, lapan dari kontak rapat manakala dua kes lagi dari misi bantuan kemanusiaan yang membawa pulang rakyat Malaysia dari Wilayah Hubei, China pulang ke Malaysia.

“Kesemua kes dari gelombang pertama ini telah sembuh dan dibenarkan pulang,” ujarnya.

Beliau memberitahu, kes-kes bagi gelombang kedua yang dilaporkan iaitu bermula kes ke-23 sehingga kes ke-197, sebanyak 52 kes dilaporkan dalam kalangan PUI, manakala kes-kes lain dilaporkan melibatkan dua kluster utama yang telah dikenal pasti.

“Di samping itu, KKM juga telah menjalankan survelan Covid-19 bagi mengesan kes terpencil atau sporadik di Malaysia melalui pesakit ‘influenza-like-illness’ (ILI) dan ‘severe acute respiratory infection’ (SARI) yang tiada kaitan dengan sejarah perjalanan ke negara-negara yang terjejas atau kontak dengan kes positif virus tersebut,” jelasnya.

Katanya, sehingga 13 Mac lalu, sebanyak 756 sampel telah diuji dan setakat ini tiga sampel dikesan positif jangkitan Covid-19.

“Setakat ini, siasatan yang dijalankan mendapati kes-kes ini dikesan dalam kalangan kluster perhimpunan tabligh.

“Siasatan bagi kes-kes berkenaan masih dijalankan dan orang awam akan dimaklumkan dari semasa ke semasa,” ujarnya. – MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here