Covid-19: 7 kematian, 150 kes baharu

0
76

SITI AZIELAH WAHI

CYBERJAYA – Sebanyak tujuh kes kematian berkaitan Covid-19 menjadikan jumlah kumulatif itu sebanyak 34 kes manakala 150 kes baharu dicatatkan hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, seramai 68 pesakit Covid-19 disahkan telah sembuh dan discaj hari ini merupakan angka tertinggi sekali gus jumlah keseluruhan adalah sebanyak 388 kes.

Beliau berkata, setakat pukul 12 tengah hari tadi, terdapat 150 kes baharu dilaporkan menjadikan jumlah kes positif Covid-19 adalah sebanyak 2,470 kes.

“Seramai 73 kes positif Covid-19 sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan daripada jumlah tersebut, 52 kes memerlukan bantuan pernafasan,” katanya dalam sidang akhbar di Kementerian Kesihatan hari ini.

Mengenai tujuh kes kematian pula akibat virus itu, Dr. Noor Hisham berkata, kes kematian ke-28 merupakan kes ke-2,321 iaitu wanita tempatan berusia 91 tahun mempunyai penyakit kencing manis, darah tinggi dan buah pinggang meninggal dunia pukul 8.48 pagi semalam di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM).

Beliau berkata, kes kematian ke-29 merupakan kes ke-2,123 iaitu seorang wanita tempatan berusia 64 tahun dengan latar belakang penyakit kronik kencing manis dan darah tinggi yang dirawat di Hospital Tuanku Ja’afar, Seremban Negeri Sembilan pada 25 Mac lalu meninggal dunia pukul 10.15 malam semalam.


”Kes kematian ke-30 merupakan kes Covid-19 ke-2,322 merupakan lelaki tempatan berumur 76 tahun mempunyai latar belakang penyakit kencing manis, darah tinggi dan penyakit buah pinggang serta disahkan meninggal dunia pukul 11.33 malam semalam,” ujarnya.

Bagi kes ke-31, Dr. Noor Hisham memberitahu, kes itu merupakan ke-2,323 lelaki tempatan berumur 27 tahun yang mempunyai sejarah latar belakang penyakit kencing manis, darah tinggi dan buah pinggang. Dimasukkan ke PPUM pada 27 Mac lalu sebelum disahkan meninggal dunia semalam.

Beliau berkata, kes kematian ke-32 yang merupakan kes ke-1,239 iaitu lelaki tempatan berumur 50 tahun merupakan peserta perhimpunan Ijtimak Masjid Seri Petaling mempunyai latar belakang penyakit darah tinggi dirawat di Hospital Enche’ Besar Hajah Kalsom, Johor pada 22 Mac lalu meninggal dunia pukul 7.44 malam semalam.

Tambah beliau, kes kematian ke-33 pula iaitu kes ke-1,249 merupakan seorang lelaki warga tempatan berumur 37 tahun yang mempunyai sejarah perjalanan ke India.

“Pesakit itu dirawat di Hospital Permai, Johor pada 21 Mac lalu sebelum disahkan meninggal dunia pukul 11.25 malam semalam,” ujarnya.

Beliau berkata, kes ke-34 iaitu kes ke-787 merupakan lelaki tempatan berusia 77 tahun yang mempunyai latar belakang penghidap penyakit darah tinggi dirawat di Hospital Kuala Lumpur pad 18 Mac lalu disahkan meninggal dunia pukul 10.40 pagi tadi.-MBNews

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here