Covid-19: Agong titah rakyat dirikan solat Hajat 

0
88

CYBERJAYA – Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menitahkan rakyat jelata menunaikan solat Hajat khusus menolak wabak Covid-19 yang sedang melanda negara ketika ini.

Perkara itu dinyatakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Senator Datuk Seri Dr. Zulkifli Mohamed Al-Bakri dalam kenyataan yang dimuat naik dalam akaun Twitter milik beliau sebentar tadi.

Menurut Zulkifli, beliau amat mengharapkan kerjasama daripada semua pihak untuk menyahut titah Seri Paduka dengan melaksanakannya di rumah dan tempat masing-masing dengan mematuhi segala arahan yang telah ditetapkan kerajaan.

Tambah beliau, solat Hajat itu boleh dilakukan pada waktu siang atau malam kecuali pada waktu-waktu yang diharamkan solat.

“Pertama, sesudah solat subuh hingga terbit matahari (kecuali bagi mereka yang berada di Tanah Haram). Kedua, selepas terbit matahari hingga kadar tujuh hasta pandangan mata. Kira-kira tiga darjah.

“Ketiga, ketika matahari tegak di atas kepala kecuali pada Jumaat. Keempat, selepas solat asar (kecuali di Tanah Haram) dan terakhir ketika matahari kemerahan di waktu senja hingga terbenam seluruh bulatannya (kecuali Tanah Haram),” katanya.

Beliau menyeru semua umat Islam membanyakkan istighfar, taubat, zikrullah, dan amalan ketaatan serta munajat yang tak putus-putus kepadaNya. – MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here