Covid-19: Apa yang perlu anda tahu

0
184

WABAK Covid-19 umpama satu ‘malapetaka’ yang menimpa kita semua.

Usaha untuk melawan wabak ini merupakan tanggungjawab kita semua, dan perlu dimulakan dengan memahami wabak itu sebaiknya.

Berdasarkan angka di China, di mana wabak tersebut mula dikesan, virus ini boleh menjangkiti sesiapa sahaja.

Kajian di China terhadap 41 individu terawal yang dijangkiti mendapati, dua pertiga daripada mereka tidak menunjukkan apa-apa tanda.

Data yang sama menunjukkan bahawa golongan umur pertengahan, iaitu di antara 30 ke 69 tahun adalah 78 peratus lebih berisiko dijangkiti.

Bagi golongan emas, jumlah yang dijangkiti setakat ini hanya 3 peratus, namun faktor kematian adalah tinggi.

Berdasarkan kajian ke atas 72,000 kes di China menunjukkan kadar kematian bagi pesakit yang berumur atas 80 tahun adalah 15 peratus.

Kadar kematian semakin menurun bagi pesakit berumur 70-an (8 peratus) manakala bagi pesakit dalam lingkungan 60an adalah 4 peratus sahaja.

Sementara itu, bagi golongan yang berisiko seperti penghidap kencing manis, masalah jantung, darah tinggi dan masalah buah pinggang, golongan ini adalah lebih mudah untuk mengalami komplikasi yang lebih teruk jika dijangkiti.

Bagi kanak-kanak, risiko jangkitan dan kematian adalah rendah, dan berdasarkan kes di China, kurang daripada 1 peratus.

Namun, kajian mendapati, virus tersebut akan tinggal lebih lama di dalam tubuh badan si penghidap, dengan beberapa kes menunjukkan virus tersebut masih ada dalam sampel najis kanak-kanak bekas penghidap walaupun selwpas sebulan.

Setakat ini, 14 peratus daripada pesakit Covid-19 perlu dimasukkan ke hospital kerana mengalami masalah pernafasan teruk dan pneumonia, dan daripada angka itu, hanya 5 peratus perlu dimasukkan ke wad rawatan rapi.

Setakat ini, tiada rawatan khusus dilakukan bagi merawat penghidap Covid-19.

Sebarang ubatan seperti antiviral dan antibiotik yang diberikan hanyalah untuk mengawal masalah sekondari yang timbul.

Setakat ini, 20 pasukan perubatan pakar di seluruh dunia sedang bertungkus lumus untuk menghasilkan vaksin kepada wabak ini, berdasarkan contoh kod DNA Covid-19 yang telah diekstrak oleh pasukan perubatan China.

Apa yang penting buat kita semua, ingatlah, bahawa mencegah lebih baik daripada mengubati.

Sentiasa bersihkan tangan dengan hand sanitiser, dan kurangkan berada di tempat awam, kerana sehingga kini, para saintis masih belum dapat mengenal pasti bagaimana wabak ini merebak.

Jadi, sendiri mau ingat lah…

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here