Covid-19: Baki dua minggu PKP jadi penentu

0
65
Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah.

Oleh: SITI KHAIRULNISAH MOHAMMED BAJURI

CYBERJAYA – Tempoh dua minggu terakhir Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) adalah tempoh penting kerana ia akan menentukan sama ada tindakan diambil kerajaan ketika ini memberi impak seperti diharapkan atau sebaliknya.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah, berkata impak itu secara tidak langsung berkait rapat dengan tingkah laku masyarakat dalam mematuhi arahan kerajaan sepanjang PKP dikuatkuasakan.

“PKP fasa kedua akan mula dikuat kuasa esok hingga 14 April ini dan beberapa kawasan juga sudah diisytiharkan sebagai lokasi Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

“Seperti yang dimaklumkan tempoh dua minggu akan datang adalah amat penting dan kerjasama semua pihak adalah amat diperlukan bagi memastikan rantaian jangkitan Covid-19 dapat diputuskan.

“KKM mahu mengingatkan sekali lagi untuk duduk di rumah dan mengamalkan etika kebersihan diri seperti kerap membasuh tangan dan jarakkan diri antara satu sama lain. Sekiranya bergejala gunakan penutup hidung dan mulut,” katanya dalam sidang akhbar, di sini, hari ini.

Dr. Noor Hisham berkata, selepas dua minggu pelaksanaan PKP, pihaknya dapat melihat trend jumlah kes baharu yang dilaporkan setiap hari dan jumlah kes harian terus meningkat dan kadang kala mendatar.

“Malah, trend bagi pesakit yang sembuh dan dibenarkan pulang turut meningkat,” katanya. – MBNews.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here