Covid-19: ‘Bossku’ cadang Malaysia tiru Korea Selatan

0
97

CYBERJAYA – Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berpendapat kerajaan perlu memberi keutamaan kepada usaha melakukan ujian saringan Covid-19 secara besar-besaran seperti dilakukan kerajaan Korea Selatan.

Usaha itu katanya, bukan sahaja memberi kesan positif pada aspek kesihatan bahkan lebih menguntungkan ekonomi negara.

“Saya percaya kos untuk memberi saringan percuma kepada sesiapa mahu diuji memberi pulangan jauh lebih besar berbanding langkah-langkah lain yang diambil oleh kerajaan.

“Saya juga percaya bahawa melaksanakan saringan besar-besaran adalah antara langkah paling efektif untuk melawan Covid-19,” katanya dalam hantaran menerusi laman Facebook rasmi miliknya.

Najib berkata, Korea yang mempunyai jumlah penduduknya sebanyak 51 juta orang itu telah berjaya mengawal kenaikan kes Covid-19 tanpa melaksanakan perintah berkurung atau kawalan pergerakan yang ketat.

“Negara itu mengambil langkah untuk memberi saringan percuma kepada sesiapa sahaja yang mahu diuji. Setakat ini, Korea Selatan sudah membuat lebih 300,000 saringan berbanding 15,196 saringan di Malaysia,” katanya.

Beliau berkata, saranan itu mengambil kira nilai anggaran kos saringan berjumlah RM700 bagi seorang individu dengan nilai KDNK Malaysia yang berjumlah RM1.4 trilion tahun lepas atau sekitar RM3.8 bilion sehari.

“Ini bermakna jumlah kos melaksanakan 15,196 saringan di negara ini setakat ini ialah sekitar RM10.6 juta.

“Katakanlah kita berjaya menurunkan kos saringan ke RM500 seorang, jumlah kos untuk membuat saringan untuk 1 juta rakyat adalah RM500 juta.

“Sebab itu, apalah sangat kos RM500 juta berbanding pulangan yang diperolehi jika kita mampu mempercepatkan pemulihan ekonomi negara kita?

Dalam hantaran yang menerima lebih 24,000 tanda suka itu, Najib turun menyarankan langkah yang perlu dipertimbangkan kerajaan iaitu ;

  1. Terus berusaha untuk mengurangkan kos saringan serta masa untuk membuat setiap saringan.

2. Meningkatkan kapasiti untuk membuat saringan dan memudahkan cara rakyat mendapat saringan.

3. Berpakat dengan rangkaian syarikat perubatan swasta untuk bersama-sama memberi saringan percuma tanpa syarat kepada setiap orang di Malaysia (termasuk orang asing tanpa kira mereka ada permit atau tak ada permit) yang ingin diuji sebab mereka percaya mereka mungkin terdedah kepada risiko.

4. Memberi jaminan bahawa mereka yang menjalani kuarantin diri secara mandatori di rumah sendiri atau di pusat kuarantin kerajaan akan dibantu dari segi kewangan dan bekalan makanan. Dan sesiapa yang melanggar tempoh kuarantin ini akan dipenjarakan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here