Covid-19: Catat enam kematian, 140 kes baharu, 58 dibenarkan pulang

0
118
Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah (tengah) ketika menyampaikan maklumat mengenai Covid-19 di sidang akhbar.

Oleh SITI KHAIRULNISAH MOHAMMED BAJURI

CYBERJAYA – Sebanyak enam lagi kes kematian akibat Covid-19 dilaporkan hari ini menjadikan jumlah kumulatif meningkat kepada 43 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, kes kematian ke-38 iaitu kes ke-2269 merupakan seorang perempuan warganegara Malaysia berusia 48 tahun dan mempunyai latar belakang penyakit darah tinggi.

Katanya, wanita itu juga merupakan kontak kepada kes ke-2750 dan mendapat rawatan di Hospital Tuanku Jaafar, Negeri Sembilan pada 25 Mac lalu dan disahkan meninggal dunia pada 30 Mac pada pukul 4.04 petang.

Menurutnya, kes kematian ke-39 iaitu kes ke-2626 merupakan lelaki warga Malaysia berusia 69 tahun yang mempunyai latar belakang penyakit kencing manis dan darah tinggi.

“Lelaki tersebut mempunyai sejarah perjalanan ke negara Arab Saudi telah meninggal dunia pada 27 Mac di rumah dan jenazahnya dibawa ke Hospital Kuala Lumpur.

“Kes kematian ke-40 iaitu kes ke-2627 merupakan lelaki warganegara Malaysia berumur 69 tahun yang mempunyai latar belakang penyakit kencing manis dan darah tinggi, telah dirawat di Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom, Johor dan disahkan meninggal dunia pada 26 Mac lalu pada pukul 1:03 petang,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar di sini, hari ini.

Dr. Noor Hisham menambah, kes kematian ke-41 iaitu kes ke-1275 merupakan lelaki warganegara Indonesia berumur 40 tahun, telah dirawat di Hospital Umum Sarawak pada 20 Mac 2020 dan disahkan meninggal dunia hari ini pada pukul 1.38 pagi.

Katanya, kes kematian ke-42 iaitu kes ke-2628 merupakan lelaki warganegara Malaysia berumur 81 tahun dan mempunyai latar belakang penyakit jantung dan telah dirawat di Pusat Perubatan Universiti Malaya pada 27 Mac lalu dan disahkan meninggal dunia hari ini pada pukul 7.09 pagi.

Beliau berkata,kes kematian ke-43 merupakan kes ke-2629 merupakan lelaki warganegara Malaysia berumur 73 tahun dan mempunyai latar belakang penyakit kencing manis dan penyakit jantung telah mendapat rawatan di Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang pada 29 Mac lalu dan telah disahkan meninggal dunia pada 30 Mac pada pukul 4.30 petang.

“Pihak KKM juga ingin memaklumkan bahawa terdapat 58 kes yang telah pulih dan dibenarkan discaj pada hari ini. Ini menjadikan jumlah kumulatif kes yang telah pulih sepenuhnya dari Covid-19 dan telah discaj daripada wad adalah sebanyak 537 kes iaitu 19.4 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

“Selain daripada itu, setakat pukul 12.00 tengah hari, terdapat 140 kes baharu yang telah dilaporkan dan membawa kepada jumlah kumulatif sebanyak 2,766 kes.

“Sehingga kini seramai 94 kes positif Covid-19 masih dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan daripada jumlah itu, 60 kes masih memerlukan bantuan pernafasan,” katanya. – MBNews

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here