Covid-19 : Daerah Kluang catat 88 kes positif

0
99

Oleh NINA FARZUIN MD SHAROM

CYBERJAYA – Sebanyak 88 kes positif Covid-19 dilaporkan di Daerah Kluang, Johor di mana 74 kes daripadanya adalah dari Kampung Dato’ Ibrahim Majid dan Bandar Baharu Dato’ Ibrahim Majid di Simpang Renggam, Johor.

Ketua Pengarahnya, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, siasatan awal mendapati berkemungkinan empat kes daripadanya adalah dari kluster tabligh.

“Siasatan sedang dijalankan dan daripada siasatan awal mendapati mungkin ada empat kes berkaitan dengan jemaah tabligh di mana mereka telah hadir ke ijtimak tabligh di Masjid Sri Petaling.

“Mungkin mereka kembali ke kampung tersebut dan menghadiri majlis perkahwinan dan juga mungkin dalam solat jemaah dan sebagainya menjangkiti penduduk di kawasan tersebut,” katanya dalam Sidang Akhbar Khas Covid-19 di kementerian itu hari ini.

Katanya, langkah kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di kedua-dua kawasan tersebut bermula pada hari ini sehingga 9 April membolehkan aktiviti pengesanan kes secara aktif dari rumah ke rumah dilaksanakan, selain aktiviti nyahkuman dijalankan di kawasan berkaitan.

“Mengambil kira situasi semasa, kerajaan mendapati terdapat keperluan untuk menjalankan PKPD di kawasan-kawasan yang berisiko tinggi. 

“Tujuan PKPD ini adalah untuk membendung jangkitan Covid-19 daripada menular keluar dari kawasan tersebut dan bagi memutuskan rangkaian jaringan penularan Covid-19,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here