Covid-19: Doktor kongsi suasana dalam wad

0
346
Gambar Hiasan

Oleh NURUL FIRDAUS KHAIRI

CYBERJAYA – “Puan, anak puan ni perlu ambil ujian untuk kali kedua”. “Tolonglah doktor. Saya kesian sangat pada anak saya ni.”

Demikian kata-kata yang kedengaran di wad hospital pada musim penularan wabak Covid-19 ketika ini. 

Perkongsian itu dimuat naik dalam akaun Facebook seorang doktor di Hospital Kuala Lumpur, Dr. Ahmad Samhan Awang yang menceritakan betapa risiko jangkitan Covid-19 boleh terjadi kepada sesiapa sahaja, termasuk bayi. 

“Dari dalam cermin kaca, kami lihat dengan jelas bayi yang baru berusia empat bulan telah didiagnos positif Covid-19 pada ujian pertama. Kini selepas beberapa tempoh perlu ambil lagi ujian untuk kali kedua.

“Menitis air mata ibunya melihat anaknya diperlakukan begitu. Memang satu pemandangan yang sayu tapi kami bukannya kejam. Kami bukannya tiada hati perut,” kongsi Dr. Ahmad.

Beliau menjelaskan, bahawa proses ujian kedua itu wajib dilakukan supaya petugas kesihatan dapat memastikan keputusan ujian yang diperoleh adalah tepat.

Katanya, virus Covid-19 kini merebak dengan cepat dan datang dari pelbagai kluster yang belum dapat dikenal pasti.

“Covid-19 ini tak mengenal siapa. Tidak kira muda atau tua, lelaki atau perempuan, dewasa atau bayi. Tidak juga ia memilih warna kulit apatah lagi kaum. Kita jaga kita,” jelasnya lagi. 

Dr. Ahmad turut menasihatkan kepada semua rakyat Malaysia agar terus berada di rumah memandangkan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) masih aktif dan dilanjutkan sehingga 14 April ini. 

“Jika balik dari membeli barang keperluan, pastikan terus basuh tangan dengan sabun sebelum sentuh anak.

“Tukar semua pakaian dan mandi. Bimbang secara tak sedar kita sebenarnya sedang membawa virus ini dari luar,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here