Covid-19: Elak bawa anak kecil ke pasar raya

0
119

RAUDHAH CITY – Ibu bapa yang datang ke Pasar Raya Raudhah Grocer di Malakat Mall di sini dinasihatkan supaya tidak membawa anak kecil bagi mengurangkan risiko terdedah kepada wabak Covid-19 sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan dilaksanakan kerajaan.

Pengasas Malakat Mall, Mohd. Fadzil Hashim berkata, terdapat segelintir pengunjung membawa anak-anak yang masih kecil ke Raudhah Grocer untuk membeli barangan keperluan.

Beliau menambah, pihaknya tidak menghalang pengunjung membeli barangan atau makanan di situ namun dinasihatkan jangan membawa anak-anak untuk mengurangkan risiko dijangkiti wabak tersebut.

“Dalam situasi negara ketika ini adalah lebih baik ibu bapa tidak perlu membawa anak-anak mereka ke Malakat Mall. Jika mahu membeli barang hanya suami atau isteri atau kedua-duanya sahaja ke Raudhah Grocer.

“Kita perlu hormati arahan kerajaan dalam mengekang penularan Covid-19 ini daripada terus merebak,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Dalam pada itu, Mohd. Fadzil berkata, jumlah pengunjung yang berbelanja di Raudhah Grocer menunjukkan penurunan berikutan Perintah Kawalan Pergerakan yang dilaksanakan bermula hari ini.

Menurut beliau, bagaimanapun tempahan melalui dalam talian mendapat sambutan kerana ramai pelanggan membeli barangan menerusi aplikasi WhatApps Malakat Delivery.

“Walau bagaimanapun sistem dalam talian masih belum sempurna dan kita menggunakan kaedah manual untuk menerima tempahan melalui aplikasi WhatsApp.

“Sebaik pesanan diterima, pasukan Malakat Delivery akan mengambil pesanan itu dan terus hantar kepada pelanggan,” ujarnya.

Beliau berkata, pihaknya mematuhi arahan kerajaan supaya tidak mengadakan solat berjemaah dan hanya laungan azan dilakukan.

“Setiap kali masuk waktu solat, kita akan laungkan azan namun tiada solat berjemaah. Pekerja dan pengunjung hanya perlu solat bersendirian sahaja di dalam pusat beli belah ini,” ujarnya. – MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here