Covid-19: Elak hadiri semua jenis perhimpunan

0
132
DR. NOOR HISHAM ABDULLAH

CYBERJAYA – Kementerian Kesihatan menggesa orang ramai menggelakkan diri daripada menghadiri semua jenis perhimpunan melibatkan jumlah orang yang ramai bagi mencegah kemungkinan jangkitan Covid-19.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, sekiranya mengalami gejala jangkitan saluran pernafasan, dinasihatkan agar tidak menghadiri program yang melibatkan orang ramai atau tempat yang padat termasuk aktiviti keagamaan.

“Individu yang bergejala dinasihatkan menjarakkan diri sekurang-kurangnya satu meter bila berhadapan dengan individu lain,” katanya dalam akaun Facebook miliknya hari ini.

Sehingga semalam, jumlah kumulatif gelombang kedua jangkitan Covid-19 telah merekodkan sebanyak 149 kes.

Lebih membimbangkan apabila salah satu daripada pesakit Covid-19 dikesan menghadiri ijtimak tabligh yang menghimpunkan kira-kira 10,000 orang dari beberapa negara di Masjid Sri Petaling pada 28 Februari hingga 1 Mac lalu.

Dalam pada itu, Dr. Noor Hisham berkata, pihaknya turut menasihatkan orang ramai tidak melancong keluar negara terutamanya negara-negara yang sedang mengalami wabak jangkitan Covid-19.

Katanya, rakyat Malaysia yang bergejala jangkitan saluran pernafasan juga dinasihatkan tidak melawat kawasan-kawasan lain di Malaysia semasa cuti sekolah.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here