Covid-19: Enam kematian di Malaysia

0
285

CYBERJAYA- Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) melaporkan dua lagi kematian akibat Covid-19 hari ini sekaligus menjadikan jumlah mangsa terkorban sebanyak enam orang di Malaysia.

Jawatankuasa itu dalam kenyataannya berkata, dua korban terbaharu itu membabitkan ibu dan anak perempuan daripada satu keluarga yang sama, masing-masing berumur 79 dan 40 tahun.

Katanya, mangsa pertama keluarga itu meninggal dunia pada pukul 2 pagi pada Rabu lalu (18 Mac), manakala mangsa kedua meninggal pada 1 petang, hari ini.

“Seorang lagi ahli keluarga ini masih dalam rawatan di Hospital Umum Sarawak di Kuching dan memerlukan bantuan pernafasan mekanikal.

“Pelaporan kes kematian yang pertama akibat Covid-19 daripada keluarga ini lambat diterima dari hospital swasta yang merawat kes kerana menunggu keputusan ujian makmal yang dihantar ke makmal swasta di Kuala Lumpur,” katanya.

Sarawak hari ini mencatatkan pertambahan 10 lagi kes baharu positif Covid-19, menjadikan jumlah bilangan kes di Sarawak sebanyak 68 kes sejak pertama dilaporkan pada 13 Mac.

Dua kes baharu dirawat di Hospital Umum Sarawak, lima kes di Hospital Sibu, dua di Hospital Bintulu, manakala seorang meninggal dunia di Kuching semasa keputusan ujian pengesahan diperoleh.

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak menyeru semua fasiliti kesihatan dan perubatan swasta agar melaporkan semua kes disyaki dan disahkan Covid-19 kepada Pejabat Kesihatan Bahagian yang berhampiran dengan kadar segera agar tindakan kawalan boleh dilakukan.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here