Covid-19 : Individu punyai sejarah perjalanan ke luar negara perlu asingkan diri selama 14 hari

0
175

Oleh NINA FARZUIN MD SHAROM

CYBERJAYA – Kementerian Kesihatan (KKM) menasihatkan individu yang mempunyai sejarah perjalanan ke luar negara, supaya mengasingkan diri daripada bergaul rapat dengan ahli keluarga atau orang yang tinggal serumah selama 14 hari, 24 jam sehari.

Ketua Pengarahnya, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, dalam tempoh itu individu tersebut perlu mengambil langkah-langkah pencegahan seperti amalan kebersihan diri yang baik, kerap mencuci tangan dan jarakkan diri sekurang-kurangnya satu meter dari orang lain.

“Dalam tempoh 14 hari ini, anda juga diminta memantau diri untuk sebarang gejala seperti demam, batuk, selesema, sakit tekak atau sesak nafas.

“Sekiranya anda mengalami mana-mana gejala tersebut, segera buat panggilan ke fasiliti kesihatan terdekat dan maklumkan status anda kepada petugas kesihatan di fasiliti kesihatan tersebut,” katanya pada sidang akhbar hari ini.

Terdahulu, Dr. Noor Hisham memaklumkan terdapat pertambahan dua kes kematian hari ini berkaitan Covid-19, menjadikan kes keseluruhan kematian sebanyak 37 kes dengan kadar 1.4 peratus.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here