Covid-19: Jangan berdegil, ikut arahan pihak berkuasa!

0
212
Pengumuman Perintah Kawalan Pergerakan oleh kerajaan menyebabkan orang ramai mula berpusu-pusu mencari barangan keperluan harian

AKHIRNYA situasi yang paling ditakutkan berlaku juga. Dua kematian akibat wabak Covid-19 berlaku sekali gus hari ini iaitu masing-masing satu kes di Johor dan Sarawak.

Selain dua kes melibatkan kematian ini, jumlah kes positif Covid-19 hari ini sahaja turut mencatatkan angka yang membimbangkan. Sebanyak 120 kes baharu dicatatkan menjadikan jumlah kumulatif positif Covid-19 di seluruh negara ialah sebanyak 673 kes.

Meskipun dikritik kerana lambat mengambil tindakan secara tegas bagi mengekang wabak penyakit ini, pengumuman Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam mengenai Perintah Kawalan Pergerakan disambut dengan penuh kelegaan oleh orang ramai.

Tetapi apabila pengumuman ini dibuat timbul masalah lain pula apabila ada pihak yang membuat pembelian panik sehingga mencetuskan sedikit kekecohan semalam.

Situasi terkini Covid-19 di Malaysia

Suka atau tidak situasi sebegini tetap akan berlaku tambahan pula Malaysia antara negara yang jarang berhadapan dengan situasi cemas sebegini berbanding negara lain. 

Bagi berhadapan dengan situasi cemas dan panik sebegini kerjasama semua pihak amatlah diperlukan supaya wabak Covid-19 dapat ditangani dengan berkesan. Justeru itu, beberapa langkah perlu diambil segera oleh semua pihak iaitu:-

PERTAMA: Patuhi semua arahan pihak berkuasa
Sejak Perintah Kawalan Pergerakan diumumkan pelbagai pihak termasuk Jabatan Netizen telah mengeluarkan pelbagai pendapat dan pandangan. Malah, ada yang cuba buat lawak dengan situasi yang sedang berlaku sekarang. Paling penting sekarang situasi sudah capai ke tahap serius dan kerjasama semua pihak sangat diperlukan.

Jika kerajaan telah meminta semua premis kecuali beberapa premis yang sangat kritikal sahaja perlu beroperasi maka semua pihak perlu akur. Ini kerana orang ramai tidak tahu siapakah pelanggan atau pun pengunjung yang datang ke premis perniagaan terbabit. 

Bayangkan jika pelanggan terbabit merupakan kontak rapat kepada pesakit yang positif Covid-19, sudah pasti lebih ramai yang akan dijangkiti wabak penyakit tersebut.

KEDUA: Elakkan pembelian panik

Pedana Menteri sebelum ini sudah memaklumkan barangan makanan dan keperluan harian mencukupi, malah beliau turut memaklumkan kedai-kedai runcit akan dibuka seperti biasa dan kedai makanan juga dibenarkan beroperasi tetapi dengan syarat makanan itu dibungkus. Jadi semua perlu bertenang dan jangan membuat pembelian panik sehingga menyusahkan semua pihak.

Orang ramai mula melakukan pembelian panik sehingga mencetuskan suasana tidak terkawal. Gambar media sosial

KETIGA: Tolong beratur

Masalah yang selalu terjadi kepada orang kita. Suka potong barisan, ketika situasi sedang genting sebegini adalah lebih baik semua pihak bersabar dan beratur sama ada ketika hendak mengambil barangan atau hendak membuat pembayaran. Jika tidak boleh mencetuskan pergaduhan.

KEEMPAT: Elakkan pergi ke tempat ramai orang
Selepas kerajaan mengumumkan perintah larangan ini, orang ramai terutamanya penuntut di institusi pengajian tinggi mula membanjiri terminal-terminal bas untuk pulang ke kampung masing-masing.

Sebenarnya situasi ini akan menyebabkan situasi menjadi bertambah buruk dan boleh menyebabkan virus lebih cepat tersebar. Adalah lebih baik semua duduk di tempat tinggal masing-masing sehingga tempoh larangan tamat.

Jika ada yang memulakan perjalanan ke kampung halaman hari ini, elakkan daripada berkumpul atau berada di tempat yang ramai kerana kita tidak tahu siapa individu yang pernah berhubung dengan kontak positif Covid-19. Sebaiknya, jangan ke mana-mana dan tinggal di rumah masing-masing supaya semua selamat daripada bahaya di luar.

terminal Bersepadu sesak dengan orang ramai yang mahu pulang ke kampung halaman bagi melarikan diri daripada Covid-19. Gambar media sosial

KELIMA: Amalkan kebersihan

Secara asasnya, Covid-19 adalah penyakit berjangkit berbahaya yang boleh merebak melalui titisan cecair daripada hidung dan mulut pesakit ketika bersin atau batuk. Apabila pesakit berkenaan mengalami salah satu penyakit ini, titisan cecair akan tersebar ke udara dan disedut oleh individu yang berdekatan sekali gus akan menyebabkan jangkitan.

Oleh itu, orang ramai perlu sentiasa mengamalkan kebersihan diri yang baik seperti kerap basuh tangan terutamanya selepas batuk atau selesema dengan menggunakan air dan sabun antara 15 hingga 20 saat.

Pada masa sama, orang ramai perlu menggunakan penutup hidung dan mulut ketika berada di luar rumah. Yang terakhir, buang tisu yang telah digunakan ke dalam bakul sampah selepas menggunakannya, jangan buang merata-rata kerana boleh menjangkiti orang lain.

KEENAM: Kuarantin diri

Jika mengalami gejala demam, batuk atau sebagainya adalah lebih baik membuat saringan pemeriksaan di pusat kesihatan dan sekiranya doktor mengarahkan supaya kuarantin, pesakit berkenaan perlu mematuhi arahan yang dikeluarkan.Ini bermakna, pesakit berkenaan langsung tidak boleh keluar rumah atau keluar sebentar membeli makanan di kedai. Keadaan ini sangat berbahaya dan boleh menjangkiti orang lain tanpa sengaja.Selain itu, jika ada ahli keluarga kita yang mengalami sakit-sakit, lebih baik minta mereka berehat di rumah.

KETUJUH: Terhadkan waktu melawat pesakit

Jika pergi ke mana-mana hospital pada waktu sekarang, semuanya telah menghadkan waktu lawatan. Orang ramai juga perlu mengambil langkah yang sama.

KELAPAN: Berdoa

Usaha dan doa perlu bergerak seiring kerana doa adalah senjata yang digunakan oleh para nabi ketika waktu sulit. Berdasarkan situasi sekarang pun, kepada Allah tempat kita berdoa supaya wabak ini berjaya dikekang dan keadaan kembali pulih seperti sedia kala.

Berdoa kepada Allah sangat disarankan supaya situasi ini kembali pulih

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here