Covid-19: Jangan pentingkan diri sendiri

0
235
Lukman Sheriff Alias

CYBERJAYA -Rakyat Malaysia diminta untuk tidak menjadi individu yang pentingkan diri sendiri dengan mematuhi arahan Perintah Kawalan Pergerakan ditetapkan oleh kerajaan.

Pengerusi Perikatan Masyarakat Sivil dalam Proses Semakan Sejagat (UPR) Malaysia (Macsa), Lukman Sheriff Alias berharap, buat masa ini masyarakat perlu duduk di rumah dan hanya keluar apabila perlu sahaja.

“Jangan keluar lari diri. Jangan kita pentingkan diri sendiri. Tak payah balik kampung. Tak payah mengembara atau melancong. Gerak jika perlu,” katanya dalam status di Facebook dipetik portal ismaweb hari ini.

Terdahulu, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin meminta rakyat Malaysia supaya berada di rumah masing-masing selama tempoh dua minggu pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan.

Tegas beliau, dengan cara itu rakyat akan terhindar daripada jangkitan Covid-19 dan penularannya dapat dibendung.

“Saya ingin merayu kepada saudara saudari. Tolonglah. Stay put where you are. Yang ada di Kuala Lumpur, duduklah di Kuala Lumpur. Yang ada di Johor Bahru duduklah di Johor Bahru. Yang ada di Pulau Pinang, duduklah di Pulau Pinang.

“Kalau anda merancang untuk pulang ke kampung, batalkanlah dahulu niat itu. Saya minta tolong untuk tempoh dua minggu ini sahaja,” katanya menerusi perutusan khas semalam.

Perutusan itu dibuat selepas melihat kepada gelagat rakyat Malaysia seperti tidak endah bahaya yang dibawa Covid-19 apabila bertindak pulang ke kampung dan melepak di kedai makan walaupun Perintah Kawalan Pergerakan dikuatkuasakan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here