Covid-19: Jangan sampai sambut hari raya di rumah

0
196

BERMULA esok secara rasminya Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) fasa kedua akan bermula untuk tempoh 14 hari lagi.

Berbanding fasa pertama yang berakhir hari ini, fasa kedua kali ini lebih keras. Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sendiri sudah melaungkan amaran awal petang tadi.

Sepanjang dua minggu PKP dilaksanakan meskipun tahap pematuhan meningkat, masih ramai yang berada di luar dan tidak mematuhi arahan supaya tinggal di rumah.

Tempoh 14 hari lagi PKP fasa kedua merupakan satu tempoh kritikal bagi seluruh rakyat Malaysia. Jika sepanjang tempoh dua minggu ini rantaian virus Covid-19 belum dapat diputuskan, tidak mustahil tempoh PKP akan dilanjutkan.

Meskipun masuk hari ke-13 PKP, kelihatan masih banyak kenderaan di jalan raya

Tambahan dua minggu lagi bermaksud tidak mustahil umat Islam perlu menyambut awal Ramadan di rumah dan jika kita masih berdegil untuk tidak mematuhi arahan pihak berkuasa dalam PKP fasa kedua, maka semua sudah boleh ‘standby’ untuk menyambut hari raya di rumah sambil dikuarantin.

Mungkin bunyinya agak mustahil bagi sesetengah orang tetapi apabila dilihat balik jumlah mereka yang didakwa di mahkamah setakat hari ini yang mencecah 246 orang dan 742 individu ditahan pada hari ke-13 PKP dilaksanakan adalah tidak mustahil jumlah ini akan terus meningkat jika tindakan tegas tidak diambil.

Di sebalik ketidakpatuhan ini, perkara paling membimbangkan sekiranya ada antara mereka yang tidak patuh dengan arahan supaya duduk di rumah akan dijangkiti Covid-19.

Dalam sidang akhbar khas oleh Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah hari ini, beliau mendedahkan selain individu yang berumur 56 hingga 60 paling ramai dijangkiti Covid-19 terdapat satu lagi kumpulan umur yang turut mempunyai jumlah jangkitan tinggi.

Menurut beliau, golongan yang berusia 26 hingga 30 tahun merupakan yang kedua tertinggi dijangkiti virus berkenaan.

Semoga penguatkuasaan lebih tegas dilakukan dalam PKP fasa kedua bagi memutuskan virus Covid-19

Lebih membimbangkan apabila Dr. Noor Hisham tidak menolak kemungkinan individu berkenaan dijangkiti Covid-19 disebabkan sering keluar rumah meskipun PKP sedang dikuatkuasakan.

Sebelum ini, pada minggu lalu sebuah badan antarabangsa iaitu JP Morgan Chase & Co menyatakan kebimbangan mengenai wabak itu yang memasuki peringkat peningkatan di Malaysia berdasarkan jumlah jangkitan yang meningkat baru-baru ini.

Berdasarkan analisis JP Morgan Chase & Co pada pertengahan bulan depan, negara akan memiliki kes puncak sehingga mencecah 6,300 kes. Iaitu satu angka yang sangat tinggi dan membimbangkan.

Sekiranya orang ramai berterusan mengamalkan sikap acuh tidak acuh dengan wabak ini, tidak mustahil analisis badan antarabangsa itu bakal menjadi kenyataan. Nauzubillah

Dengan hanya melahirkan rasa bimbang di bibir tapi masih melakukan perbuatan berbeza dengan keluar dari rumah, bersiar-siar, melepak bersama rakan di hadapan rumah, berjogging dan lain-lain, maka kita semua sekarang sudah boleh berkira-kira untuk menyambut hari raya dalam rumah dengan berpakaian kain pelikat sambil mencicah biskut kering bersama kopi panas.

Jika ini terjadi, simpan kenangan ini untuk diceritakan kepada anak cucu kita lagi 30 tahun. Kisah sebuah kedegilan dan ketidakpatuhan pada arahan sehingga mencatat sejarah berhari raya sambil menangis di bucu katil.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here