Covid -19 : Jangan sebar maklumat tidak disahkan KKM

0
129
Orang ramai dan pelancong memakai penutup hidung dan mulut berikutan penularan Virus Korona ketika tinjauan di sekitar perkarangan KLCC.

KUALA LUMPUR – Kementerian Kesihatan sedang menyiasat dan mengambil tindakan kepada maklumat yang tular mengenai status positif Covid-19 dua orang kenamaan di negara ini.

“KKM ingin merujuk kepada maklumat yang ditularkan dalam media sosial mengenai dua orang kenamaan yang dikatakan disyaki dijangkiti Covid-19 dan dikaitkan dengan kes ke-26 Covid-19. Perkara ini sedang disiasat dan diambil tindakan oleh pihak KKM.

“Untuk makluman, kes ke-26 yang dilaporkan pada 1 Mac lalu sedang dirawat dan dipantau di wad isolasi Hospital Sungai Buloh dan dalam keadaan stabil.

“Lima kontak rapat keluarga, seorang pembantu khas kepada kes ke-26 dan seorang kakitangan kesihatan swasta juga telah disahkan negatif Covid-19. Siasatan dan pengesanan kontak rapat masih terus dijalankan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Bekas Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Mohd. Redzuan Yusof yang turut ditular dalam media sosial sebagai menteri berisiko terdedah Covid-19 selepas pertemua dengan Pengerusi UDA , Datuk Hisham Hamdan yang dilaporkan positif virus itu.

Dalam pada itu, KKM memaklumkan tiada kes baharu jangkitan penyakit itu dilaporkan pada hari ini.

Menurut kenyataan itu, jumlah kumulatif kes Covid-19 sehingga hari ini kekal 29 kes; iaitu 17 orang dalam kalangan kes pesakit disiasat (PUI), 10 orang dalam kalangan kontak rapat dan dua orang dalam kalangan rakyat Malaysia yang dibawa pulang dengan Misi Bantuan Kemanusiaan.

“Daripada jumlah tersebut, 15 orang adalah warganegara China, 11 orang warganegara Malaysia dan tiga orang adalah lain-lain warganegara (iaitu Amerika Syarikat, Jepun dan Itali),” katanya.

Daripada 29 kes positif itu, sebanyak 22 kes telah sembuh dan dibenarkan keluar manakala tujuh kes masih menerima rawatan di wad isolasi di beberapa hospital di Lembah Klang dan kesemua kes ini dalam keadaan stabil.

Dalam pada itu, seramai 221 orang dikenal pasti mempunyai kontak rapat dengan tujuh kes yang masih dirawat di hospital.

“Daripada jumlah kontak ini, dua telah disahkan positif (iaitu kes ke-27 dan kes ke-29) dan 74 negatif Covid-19. Manakala 82 kes masih menunggu keputusan makmal dan 63 lagi masih dalam proses pengambilan sampel,” katanya.

“Merujuk kepada gelombang pertama, kebanyakan kes-kes penyakit Covid-19 di Malaysia adalah merupakan kes-kes import atau berkait rapat dengan China dan hanya dua kes Covid-19 merupakan transmisi tempatan. Dalam tempoh tersebut, 22 kes Covid-19 telah pulih dan discaj,” ujar kenyataan itu.

Orang ramai dinasihatkan untuk sentiasa mengamalkan kebersihan diri yang baik dengan sentiasa mencuci tangan dengan air dan sabun atau dengan menggunakan hand sanitiser. – MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here