Covid-19 : Kadar pesakit pulih catat 91 kes

0
82

Oleh NINA FARZUIN MD SHAROM

CYBERJAYA – Kemeterian Kesihatan (KKM) mengesahkan 91 kes akibat wabak Covid-19 telah pulih dan dibenarkan discaj hari ini dan merupakan jumlah terbesar setakat ini.

Ketua Pengarahnya, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, ini menjadikan jumlah kumulatif kes yang telah pulih sepenuhnya daripada wabak itu telah discaj daripada wad adalah sebanyak 479 kes iaitu 18.2 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

Pada masa sama, beliau turut memaklumkan terdapat pertambahan dua kes kematian hari ini berkaitan Covid-19, menjadikan kes keseluruhan kematian sebanyak 37 kes dengan kadar 1.4 peratus.

“Kes kematian ke-36 iaitu kes ke-1,941 merupakan lelaki warganegara Malaysia berumur 47 tahun. Pesakit itu telah dirawat di Hospital Umum Sarawak pada 23 Mac lalu dan disahkan meninggal dunia hari ini pukul 8.10 pagi.

“Kes kematian ke-37 iaitu kes ke-2,471 merupakan perempuan warganegara Malaysia berumur 46 tahun dan mempunyai latar belakang penyakit darah tinggi dan penyakit autoimun. Pesakit itu telah dirawat di Hospital Miri, Sarawak dan disahkan meninggal dunia hari ini pukul 9.02 pagi,” katanya pada sidang akhbar hari ini.

Terdahulu, Dr. Noor Hisham dalam hantaran akaun rasmi Facebook miliknya semalam berkata, kes kematian ke-35 merupakan seorang perempuan warganegara Malaysia berumur 57 tahun meninggal dunia pukul 4 petang semalam di Hospital Sungai Buloh.

Tambah beliau, pesakit itu mempunyai latar belakang penyakit kencing manis serta memiliki sejarah perjalanan ke Indonesia.

Sementara itu, beliau turut mengesahkan sehingga pukul 12:00 tengah hari tadi terdapat 156 kes baharu dilaporkan sekali gus menjadikan jumlah kes positif Covid-19 di Malaysia adalah sebanyak 2,626 kes.

“Sehingga kini, seramai 94 kes positif Covid-19 sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan daripada jumlah tersebut, 62 kes memerlukan bantuan pernafasan,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here