Covid-19: Kerajaan kuat kuasa perintah kawalan pergerakan

0
152
Tan Sri Muhyiddin Yassin

CYBERJAYA – Kerajaan memutuskan untuk melaksanakan perintah kawalan pergerakan bermula Rabu ini hingga 31 Mac di seluruh negara berikutan penularan jangkitan wabak Covid-19.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, perintah kawalan itu dibuat di bawah Akta Pencegahan danPengawalan Penyakit Berjangkit 1988 dan Akta Polis 1967.

“Perintah meliputi larangan menyeluruh pergerakan dan perhimpunan ramai di seluruh negara termasuk aktiviti keagamaan, sukan, sosial dan budaya.Untuk menguatkuasakan larangan ini, semua rumah ibadat dan premis perniagaan hendaklah ditutup, kecuali pasaraya, pasar awam, kedai runcit dan kedai serbaneka yang menjual barangan keperluan harian. 

Pasar raya yang menjual barangan harian akan dibuka bagi memudahkan orang ramai mendapatkan bekalan makanan

“Khusus untuk umat Islam, penangguhan semua aktiviti keagamaan di masjid dan surau termasuk solat Jumaat adalah selaras dengan keputusan Mesyuarat Jawatankuasa Muzakarah Khas yang telah bersidang pada hari ini,” katanya dalam Perutusan Khas Perdana Menteri Mengenai Covid-19 sebentar tadi.

Dalam pada itu, katanya, kerajaan juga akan menguatkuasakan sekatan menyeluruh semua perjalanan rakyat Malaysia ke luar negara dan bagi yang baru pulang dari luar negara, mereka dikehendaki menjalani pemeriksaan kesihatan dan melakukan kuarantin secara sukarela selama 14 hari.

Selain itu, Muhyiddin berkata, sekatan juga dibuat kepada kemasukan semua pelancong dan pelawat asing ke dalam negara.

Perintah ini turut melibatkan penangguhan solat Jumaat dan solat berjemaah di masjid

“Selain itu, turut terlibat ialah penutupan semua taska, sekolah kerajaan dan swasta termasuk sekolah harian, sekolah berasrama penuh, sekolah antarabangsa, pusat tahfiz dan lain-lain institusi pendidikan rendah, menengah dan prauniversiti serta penutupan semua institusi pendidikan tinggi (IPT) awam dan swasta serta institut latihan kemahiran di seluruh negara,” ujarnya.

Dalam pada itu, katanya, perintah kawalan itu turut meliputi penutupan semua premis kerajaan dan swasta kecuali yang terlibat dengan perkhidmatan penting negara iaitu air, elektrik, tenaga, telekomunikasi, pos, pengangkutan, pengairan, minyak, gas, bahan api, pelincir, penyiaran, kewangan, perbankan, kesihatan, farmasi, bomba, penjara, pelabuhan, lapangan terbang, keselamatan, pertahanan, pembersihan, peruncitan dan bekalan makanan. 

“Saya sedar bahawa saudara-saudari mungkin merasakan bahawa tindakan yang diambil oleh kerajaan ini menimbulkan kesulitan dan kesukaran untuk saudara-saudari menjalani kehidupan seharian. 

“Namun, tindakan ini mesti diambil oleh kerajaan untuk membendung penularan wabak Covid-19 yang berkemungkinan meragut nyawa rakyat negara ini. Kita telah melihat peningkatan wabak Covid-19 secara mendadak daripada puluhan orang yang dijangkiti virus ini kepada ribuan orang dalam masa yang singkat di beberapa buah negara lain. Sudah pasti saudara-saudari tidak mahu keadaan yang sama berlaku di negara kita,” katanya.

Perdana Menteri berkata, kerajaan tidak boleh mengambil masa terlalu lama sehingga ada nyawa yang terkorban.
Sementara itu, beliau turut memberi jaminan bahawa bekalan bahan-bahan makanan, keperluan harian dan penjagaan kesihatan termasuk topeng muka adalah mencukupi. 

“Saya telah mengarahkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna agar sentiasa memantau situasi bekalan makanan dan keperluan harian di pasaran sepanjang tempoh perintah kawalan pergerakan ini berkuatkuasa. 

“Saya merayu kepada saudara-saudari agar sentiasa mematuhi perintah ini. Ini adalah tanggungjawab kita bersama yang mesti kita laksanakan sebagai rakyat yang prihatin terhadap keluarga kita, masyarakat kita dan negara kita,” katanya.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here