Covid-19: Kesatuan Ulama Islam Sedunia fatwakan harus tangguh solat Jumaat

0
245

CYBERJAYA- Susulan penularan Covid-19, Kesatuan Ulama Islam Sedunia (Kuis) mengeluarkan fatwa bahawa hukum penangguhan solat Jumaat adalah harus.

Menurut laporan Al-Jazeera, fatwa itu untuk semua negara yang berdepan penularan wabak Covid-19 dan turut terpakai untuk solat berjemaah secara am, ekoran perkembangan terbaru yang semakin membimbangkan di seluruh dunia.

Menurut Kuis, fatwa penangguhan berkenaan adalah sehingga penularan wabak Covid-19 berjaya dikawal, yang akan ditentukan oleh pihak berkuasa.

Pautan pada laporan berkenaan turut dikongsikan oleh AJK Pas Pusat, Muhammad Khalil Abdul Hadi di Facebooknya.

“Di Malaysia kita tunggu pandangan dari Majlis Fatwa Kebangsaan,” kata Adun Batu Buruk itu.

Sementara itu, Mufti Perlis, Dr. Asri Zainul Abidin turut berkongsi pautan berita sama.

Untuk rekod, Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) pada 13 Mac lalu mengumumkan bahawa solat Jumaat digantikan dengan Zuhur yang dikerjakan di rumah.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here