Covid-19: KKM harap tidak cecah 6,000 kes

0
100

Oleh SITI AZIELAH WAHI

CYBERJAYA – Kementerian Kesihatan berharap peningkatan kes positif Covid-19 tidak mencecah sehingga 6,000 kes bulan depan.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, jumlah itu dianggarkan hingga pertengahan April berdasarkan pemerhatian kementerian dan laporan oleh badan penyelidik JP Morgan Chase & Co.

“Bagaimanapun KKM berharap langkah yang sedang diambil pada masa ini untuk membendung penularan wabak akan dapat mengurangkan jumlah tersebut.

“Kita telah laksana kegiatan kesihatan awam dan juga dengan perintah kawalan pergerakan (PKP), kita harap dapat mengesan kes-kes positif untuk diasingkan dan diberi rawatan. Diharap dengan tindakan ini dapat kurangkan kes,” katanya.

Noor Hisham berkata, demikian sebagai menjawab soalan pemberita berhubung lanjutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang diumumkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini.

Beliau berkata, KKM menyasarkan untuk melandaikan graf peningkatan kes jangkitan wabak tersebut agar perkhidmatan kesihatan dapat menampung kes-kes yang ada.

Tambah Dr. Noor Hisham, setakat ini sebanyak 3,400 katil disediakan dan menyasarkan 300 katil wad Unit Rawatan Rapi (ICU).

“Kita sudah meningkatkan kemampuan dengan menambah lagi katil di institut latihan sebanyak 1,892 katil.

“Keseluruhan pertambahan 5,292 katil diharap dapat tempatkan pesakit simptom positif atau kes bergejala ringan tapi positif,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here